Situasi di Melaka boleh berlaku di mana-mana negeri termasuk Johor - Hasni - Utusan Malaysia

Situasi di Melaka boleh berlaku di mana-mana negeri termasuk Johor – Hasni

HASNI Mohammad (dua kiri) merasmikan Jauhar Child Care di Kota Iskandar, Iskandar Puteri di Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan situasi politik yang berlaku di Melaka boleh terjadi di mana-mana negeri khususnya yang mempunyai majoriti tipis termasuk di Johor.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, namun begitu setakat ini pihaknya tidak mendengar sebarang desas-desus berhubung kemungkinan tersebut melibatkan negeri itu.

“(Situasi di Melaka) Ini boleh berlaku kepada mana-mana negeri yang mempunyai majoriti tipis termasuk Johor.

“Saya tidak menolak atau tidak mendakwa bahawa keadaan itu tidak boleh berlaku di Johor kerana ia juga boleh berlaku pada Johor atau pada mana-mana negeri.

“(Namun) Setakat ini tiada cerita yang boleh membawa Johor kepada keadaan demikian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Modul Jauhar serta Majlis Perasmian Jauhar Child Care (JCC) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Terdahulu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memaklumkan DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa semalam.

Ab. Rauf memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam susulan penarikan sokongan empat wakil rakyat daripada menyokong kerajaan.

Ketika ini, kerajaan negeri pimpinan Hasni mempunyai majoriti tipis iaitu seramai 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di blok kerajaan berbanding 27 ADUN di blok pembangkang.

Hasni bagaimanapun berkata, sekiranya Melaka telah membuat keputusan untuk membubarkan DUN, keputusan sama ada Pilihan Raya Negeri akan dilakukan atau tidak bergantung kepada kerajaan Pusat.

“Sekiranya Dewan Negeri buat keputusan pembubaran, ia terpulang kepada kerajaan Pusat sama ada bersetuju atau tidak pilihan raya diadakan.

“Ini kerana selepas tiga tahun kerajaan yang ada tidak perlu diadakan pilihan raya, jadi biar atas sebab apa pun terpulang pada kerajaan Pusat hendak adakan pilihan raya atau sebaliknya,” ujarnya.

Semalam, empat ADUN Melaka mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Mereka ialah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN