Siti Nordiana dakwa difitnah sebagai individu bermoral rendah - Utusan Malaysia

Siti Nordiana dakwa difitnah sebagai individu bermoral rendah

SITI  Nordiana Alias (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk memberi keterangan pada perbicaraan tuntutan saman terhadap lima defendan - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Nordiana Alias mendakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau difitnah dalam laman Instagram menyebabkannya digambarkan sebagai individu bermoral rendah sehingga mengundang kecaman dan sindiran warganet.

Penyanyi itu yang dikenali sebagai Nana mentafsirkan bahawa antara kecaman yang dilemparkan oleh warganet menyatakan beliau seorang yang bermuka-muka, berperangai teruk dan menghadapi bipolar kerana melalui kehidupan yang perit.

Menurut Siti Nordiana, 37, pernyataan fitnah lima defendan ketika bersiaran secara langsung dalam Instagram turut menyebabkan beliau digambarkan sebagai individu yang berkira berkaitan isu wang dan makanan sedangkan beliau tidak begitu.

Ujar penyanyi itu, kelima-limanya sebelum ini banyak menyindir beliau dan perlakuan itu telah diketahui oleh para pengikutnya di Instagram.

Siti Nordiana memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan tuntutan saman RM2.5 juta terhadap kelima-lima defendan termasuk dua rakan artis atas dakwaan memfitnahnya di platform Instagram.

Mereka ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 36, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 36, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 35.

Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42.

Siti Nordiana selanjutnya mendakwa, pernyataan Lan Solo yang memfitnahnya dalam siaran langsung itu menggambarkan beliau seorang yang angkuh dan tidak menghormati orang lain sedangkan beliau bukan berperangai sedemikian.

Zuraidah Badron (kiri depan) dan defendan-defendan lain hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk memberi keterangan pada perbicaraan tuntutan saman terhadap mereka – UTUSAN/NORLIZAH ABAS

Dalam keterangannya, Siti Nordiana bersetuju beliau menjalin persahabatan dengan Lan Solo, isteri dan Syura sejak tahun 2000 dan ia merupakan tempoh yang panjang.

Ketika disoal balas oleh peguam Azlan Abdul Razak, beliau bersetuju tidak menonton siaran langsung di laman Instagram tersebut sebaliknya rakaman itu ditonton di YouTube yang dimuatnaik oleh seorang YouTuber.

Siti Nordiana bagaimanapun tidak bersetuju rakaman yang ditonton di YouTube selama hampir dua jam itu merupakan hasil suntingan daripada siaran langsung dari Instagram.

Ujar beliau, pernyataan-pernyataan yang didakwa memfitnah itu hanya diketahui daripada peminatnya yang menyaksikan siaran langsung itu yang kemudian menghantar pesanan peribadi di Instagramnya.

Menurut penyanyi itu, selain disahkan oleh peminatnya, perkara itu turut diketahui daripada pihak media yang bertanyakan isu yang dibangkitkan dalam siaran langsung tersebut.

Siti Nordiana turut menyatakan beliau tidak mengenali YouTuber `Manusia Lemah’ dan berpendapat kandungan yang dimuatnaik dalam YouTube itu adalah sama dengan kandungan dalam siaran langsung Lan Solo di Instagram.

Pada prosiding itu, Hakim Zulqarnain Hassan turut menegur Azlan supaya menghormati saksi ketika menyoal balasnya agar beliau selesa ketika memberi keterangan.

Hakim berkenaan turut menjelaskan bahawa Siti Nordiana tidak perlu risau memberi keterangan walaupun soalan-soalan yang diajukan tidak menyebelahinya kerana beliau mempunyai satu lagi pusingan untuk disoal oleh peguamnya.

Perbicaraan bersambung 19 November ini.

Dalam saman tersebut, Siti Nordiana menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Menurut writ saman yang dihantar secara e-mel, beberapa perkara telah dinyatakan iaitu permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya