PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menahan 16 individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran dalam serbuan di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tangkapan terdiri daripada 14 warga asing dan dua rakyat tempatan itu dibuat melalui Op Gegar yang dijalankan pada 6 dan 7 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi pertama di sebuah premis hotel bajet di Nilai yang menjalankan kegiatan pelacuran melibatkan wanita warga asing.
Katanya, hasil risikan mendapati premis tersebut dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing dengan menggunakan pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan dengan ‘flat rate’ RM180 bagi satu langganan.
“Pelanggan perlu memilih wanita dan membuat tempahan terlebih dahulu melalui applikasi WeChat dan Telegram.
“Hasil pemeriksaan di premis tersebut, seramai lima wanita yang terdiri daripada tiga warga Thailand dan dua warga Indonesia ditahan. Turut diberkas seorang lelaki Indonesia iaitu pelanggan premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, semakan awal mendapati ada wanita ditahan mempunyai kes dadah dan masih dalam proses perbicaraan mahkamah.
Ujar beliau, operasi kedua dijalankan di sebuah hotel tiga bintang di Cheras yang mana premis itu dikawal selia melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan tonto.
“Dalam serbuan itu, kita menahan lapan wanita warga asing dua orang lelaki tempatan yang merupakan penjaga wanita-wanita ini.
“Lapan wanita warga asing ini terdiri daripada empat warganegara Indonesia, dua warganegara Thailand dan dua warganegara Vietnam,” ujarnya.
Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket ini mendaftarkan bilik-bilik di hotel menggunakan nama warga tempatan dan hanya menerima pelanggan yang telah membuat tempahan melalui urusan WeChat dan Telegram.
Ujar beliau, pemeriksaan mendapati perkhidmatan seks ditawarkan dengan harga dari RM180 bagi tempoh masa 45 minit dan RM1,800 bagi langganan tempoh masa 24 jam atau sehari.
“Setiap pelanggan terlebih dahulu akan memilih wanita warga asing yang ingin dilanggan melalui aplikasi dan bayaran perlu dibuat secara dalam talian.
“Kemudian barulah pelanggan diberikan nombor bilik wanita yang telah ditempah sebelum hadir ke hotel tersebut,” ujarnya.
Menurut Khairul Dzaimee, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Susulan daripada serbuan ini, kita telah mengesan dan mengenal pasti beberapa lokasi premis yang merupakan rangkaian sindiket aktif menjalankan aktiviti pelacuran,” katanya. – UTUSAN ONLINE