DUNGUN: Sesi persekolahan 2022 kekal pada Mac tahun depan sebagaimana yang diputuskan Kementerian Pendidikan, sebelum ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan perbincangan dan penelitian mendalam dengan pelbagai pihak termasuk beberapa pakar, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di samping pengetua dan guru besar.
Malah, beliau percaya ketetapan itu merupakan langkah terbaik dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini.
“Ketetapan ini akan diteruskan dan kita yakin tempoh tersebut dapat memberi ruang yang cukup kepada pelajar sebelum naik ke kelas berikutnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Sains Dungun, di sini hari ini.
Sementara itu, Radzi berkata, kerajaan belum membuat keputusan berhubung cadangan untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah bagi memudahkan penggunaan aplikasi MySejahtera.
“Buat masa ini kita belum ada satu ketetapan umum tentang perkara itu, namun kita sedang meneliti dari sudut operasinya dan sebarang maklumat terbaharu akan dimaklumkan,” katanya. – UTUSAN