KUALA TERENGGANU: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini yang berusia 84 tahun bakal berwajah baharu menerusi projek pembinaan semula di tapak sama yang membabitkan kos sebanyak RM104 juta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mercu tanda baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan seluas 2.04 hektar dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2024.
Katanya, pembangunan berkenaan bakal memberi keselesaan kepada 993 warga kerja, di samping meningkatkan motivasi seluruh pegawai dan anggota untuk terus menjalankan amanah serta tanggungjawab dengan lebih baik.
“Penggantian bangunan lama itu merupakan sebahagian daripada pelan strategik keselamatan PDRM dalam memberikan kelangsungan perkhidmatan yang terbaik kepada 1.3 juta rakyat Terengganu.
“Kompleks baharu IPK Terengganu akan dilengkapi bangunan pentadbiran setinggi sembilan tingkat yang menempatkan 10 jabatan, bilik pejabat, bilik mesyuarat, dewan serbaguna, auditorium, kantin dan taska,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pecah tanah pembinaan IPK Terengganu di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa.
Sementara itu, Acryl Sani berkata, bangunan IPK sedia ada yang dibina pada 1937 itu sudah uzur dan tidak lagi sesuai untuk didiami kerana masalah pendawaian elektrik yang berisiko menyebabkan kebakaran.
“Malah, ruang pejabatnya juga tidak mampu menampung keperluan perjawatan semasa dan diharap kewujudan bangunan baharu kelak dapat mengemaskan gerak kerja seluruh pasukan bagi memenuhi keperluan keselamatan masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE.