Saman fitnah Mat Sabu, Harakah selesai - Utusan Malaysia

Saman fitnah Mat Sabu, Harakah selesai

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes saman membabitkan bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu terhadap kolumnis dan Ketua Pengarang Harakah berhubung dakwaan menerbitkan artikel berunsur fitnah di laman web portal Harakahdaily, tahun lalu berjaya diselesaikan hari ini.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali merekodkan penghakiman persetujuan bagi penyelesaian kes itu.

Bagaimanapun menurut peguam, Noor Atiqah Abdul Rahman yang mewakili Mohamad ketika dihubungi media tidak mendedahkan terma-terma penyelesaian.

Sementara itu peguam, Yusfarizal Yussoff yang mewakili Roslan Shahir Mohd. Shahir yang juga kolumnis akhbar Harakah dan di portal Harakahdaily, Wan Nordin Wan Yaacob dan penerbit, Galeri Media Serbanika Sdn. Bhd. (Galeri Media) sebagai defendan pertama hingga ketiga ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Pada 28 Oktober, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja memfailkan saman tersebut atas dakwaan kesemua defendan pada 14 September 2020 telah menerbitkan artikel berbaur fitnah bertajuk ‘Husam: PAN parti diktator’ di laman sesawang Harakahdaily dan merujuk kepada Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah).

Artikel tersebut didakwa merujuk kepada Mohamad dan memberikan gambaran bahawa plaintif adalah seorang Presiden bersifat diktator dan bertujuan untuk menjatuhkan dan merendahkan maruah dan kredibiliti dirinya.

Mohamad menyatakan susulan daripada terbitan artikel, plaintif mendakwa beliau telah merasa malu, kredibiliti dan reputasi terjejas dan dipandang hina oleh masyarakat.

Oleh itu, bekas Kabinet itu antara lain memohon ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan oleh mahkamah dengan faedah sebanyak lima peratus setahun dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesaian penuh.

Bagaimanapun Roslan Shahrir, Wan Nordin dan Galeri Media dalam pernyataan pembelaan masing-masing menyatakan mereka mempunyai tanggungjawab politik dan moral untuk menerbitkan artikel terbabit kepada masyarakat umum, khususnya kepada pengundi.

Defendan berkata, mereka tiada niat jahat untuk mensensasikan berita dan meningkatkan jumlah pelawat pengunjung laman sesawang https://harakahdaily.net, bahkan capaian laman sesawang itu adalah seperti biasa sebelum dan selepas penerbitan artikel berkenaan.

Katanya, mereka juga tiada niat jahat untuk mendapatkan faedah kewangan melalui penerbitan artikel terbabit, malah  tidak memperoleh apa- apa faedah kewangan melainkan capaian biasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya