Rumah hangus dibakar ahli keluarga tidak waras - Utusan Malaysia

Rumah hangus dibakar ahli keluarga tidak waras

ANGGOTA bomba memadam kebakaran melibatkan dua buah rumah di Jalan Konkrit Perikanan Tanjung Sedili di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Lapan penghuni dari dua buah rumah hilang tempat berteduh selepas kediaman mereka disyaki dibakar salah seorang ahli keluarga yang mengalami masalah mental di Tanjung Sedili, di sini.

Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Azman Jantan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 6.49 pagi membabitkan rumah beralamat di Jalan Konkrit Perikanan Tanjung Sedili sebelum menghantar 18 anggota termasuk dari BBP Bandar Penawar ke lokasi.

Katanya, kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis struktur kekal bersambung yang masing-masing berkeluasan 18 kaki x 25 kaki persegi.

“Kedua-dua buah rumah berkenaan dihuni seramai lapan orang daripada dua buah keluarga yang mempunyai hubungan persaudaraan.

“Hasil maklumat awal diterima kebakaran telah disedari apabila salah seorang penghuni yang mempunyai masalah mental memaklumkan kepada kakaknya yang beliau telah membakar rumah tersebut.

“Bagaimanapun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azman, kesan kebakaran itu telah memusnahkan kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan kedua-dua buah rumah tersebut.

Jelasnya tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila kesemua penghuni sempat bertindak keluar dari rumah mereka bagi menyelamatkan diri.

“Operasi pemadaman kebakaran dengan menggunakan dua aliran 200 kaki sumber air pam jentera dan pili bomba pada jarak 30 meter sehingga api padam sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada pukul 8.46 pagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN