Rumah baharu jadi hadiah sempena Deepavali  - Utusan Malaysia

Rumah baharu jadi hadiah sempena Deepavali 

S. THIGARANI (kiri) bersama suaminya, G. Arvin tidak dapat menyembunyikan rasa teruja mereka ketika menerima kunci untuk menduduki rumah baharu menjelang sambutan Deepavali tidak lama lagi di Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: “Inilah hadiah paling manis sepanjang perkahwinan kami. Lebih manis, kami akan sambut Deepavali di rumah sendiri kali ini”.

Itu kata S. Thigarani, 29, yang tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kunci kepada penghuni Residensi Pauh Permai di sini, hari ini.

Thigarani yang ditemani suaminya, G. Arvin, 29, berkata, mereka telah memohon untuk membeli rumah itu sejak tiga tahun lalu selepas tertarik dengan satu iklan dalam siri jelajah oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).

“Kami pun baru setahun berkahwin dan sepanjang tempoh itu, kami tinggal bersama keluarga suami di Kedah dan berulang alik ke Pulau Pinang kerana bekerja di sini,” katanya yang juga seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta di sini.

Pasangan itu merupakan antara 10 penghuni kediaman tersebut yang menerima kunci kediaman masing-masing daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, hari ini.

Hadir sama pada majlis penyerahan kunci itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, sebanyak 70 peratus atau 694 daripada keseluruhan 985 pembeli unit kediaman Residensi Pauh Permai di sini setakat ini terdiri daripada kalangan golongan muda berusia antara 25 hingga 35 tahun.

Katanya, perkembangan positif itu menunjukkan projek perumahan yang dibangunkan oleh PR1MA berjaya menarik pembeli muda.

“Sehingga kini, PR1MA sebagai sebuah agensi telah dapat membangunkan sebanyak 61 buah projek di seluruh negara merangkumi kira-kira 49,000 unit kesemuanya.

“Untuk Pulau Pinang khususnya, Residensi Pauh Permai seluas 7.52 ekar (3.04 hektar) dengan 1,017 unit ini boleh dianggap sebagai ‘anak sulung’ PR1MA di negeri ini dan insya-Allah, ‘more to come‘ (akan ada lebih banyak projek perumahan selepas ini),” jelas beliau.

Residensi Pauh Permai yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang, taska, dewan serbaguna dan sebagainya itu secara keseluruhannya boleh dimiliki pada harga antara RM250,000 hingga RM275,000.

Ketika ini juga, unit kediaman yang disasarkan untuk golongan M40 itu hanya berbaki 23 unit dengan sembilan unit lagi telah ditempah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN