PETALING JAYA: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr.Radzi Md Jidin hari ini membuat laporan polis berhubung penularan gambar palsu.
Radzi berkata, gambar tersebut memaparkan satu sidang akhbar beliau di Dungun yang disunting bagi menunjukkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Menurut beliau, hantaran Facebook bersama sekeping gambar palsu berkenaan jelas menunjukkan tindakan berniat jahat pemilik akaun tersebut dan adalah amat tidak bertanggungjawab.
“Saya dimaklumkan tentang satu hantaran Facebook yang tular bersama sekeping gambar yang menunjukkan seolah-olah langsung tiada penjarakan fizikal sewaktu saya mengadakan satu sidang akhbar. Seingat saya, selain Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan Exco Pendidikan Terengganu, Satiful Bahari Mamat, tiada sesiapa berada di sebelah ketika sidang media di Sekolah Menengah Sains Dungun pada 3 Oktober 2021. Setelah disemak, gambar tersebut sebenarnya adalah gambar palsu.
“Laporan polis telah pun dibuat.Mohon sahabat semua dapat kongsikan penjelasan ini,” katanya menerusi kenyataan Facebooknya hari ini. – UTUSAN ONLINE










