Propaganda salahkan UMNO tidak rasional - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Propaganda salahkan UMNO tidak rasional – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Propaganda mahu menyalahkan UMNO di sebalik segala yang berlaku di Melaka adalah tidak rasional kerana ahli dewan undangan negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Bebas turut terlibat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, secara tepat, empat ADUN terdiri daripada UMNO, Bersatu dan Bebas terlibat dalam kemelut politik di Melaka.

“Secara harfiah (literally), segala yang terjadi didorong masalah dalaman di Melaka dan ia melibatkan wakil rakyat daripada beberapa parti yang diketahui.

“Bagaimanapun, seperti kata Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas berjumpa dengan ahli UMNO di Melaka, nasi sudah menjadi bubur. 

“Maka parti perlu bersiap siaga mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) jika itu ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini. 

Sebelum ini, empat ADUN Kerajaan Negeri Melaka mengesahkan bahawa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Penarikan itu menyaksikan pembubaran DUN negeri itu oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam berkuat kuasa 5 Oktober lalu.

Menurut Ahmad Zahid, seperti mana yang pernah dimaklumkan sebelum ini di Dewan Rakyat, jika benar kerajaan Melaka sudah tumbang, maka elok ia dikembalikan mandat kepada rakyat.

“Tetapi saya tidak mengulas lebih ketika itu disebabkan masa untuk bercakap adalah terhad sedangkan banyak lagi hal rakyat perlu diketengahkan kepada Dewan.

“Kemudian pada sidang media di bangunan Parlimen, saya menjelaskan dengan lebih terperinci tentang pendirian saya,” katanya. 

Bagaimanapun, katanya, sememangnya langkah terbaik untuk menangani kemelut di Melaka adalah dengan mengadakan PRN, namun ia masih perlu mengambil kira faktor lain.

“Maka sebaiknya ia diputuskan SPR selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan. 

“Sehingga sebarang pilihan raya mungkin diumumkan oleh SPR, Ketua Menteri Melaka akan berfungsi dalam bentuk care taker goverment,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN