KEPALA BATAS: “Sudah 10 tahun saya menunggu untuk duduk di rumah sendiri. Sekarang, anak sudah masuk empat orang dan yang sulung pun dah cecah 10 tahun. Tapi, rumah yang kami tunggu masih belum siap sampai ke hari ini.”
Itu keluhan salah seorang penerima Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) kendalian Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Permatang Saga, di sini.
Normah Zainol, 37, yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan secara dalam talian berkata, dia dan suaminya, Shamsul Saad, 47, kini tinggal di rumah ibunya di Sungai Petani, Kedah buat sementara waktu sepanjang menunggu projek tersebut siap.
“Alhamdulillah, saya sedikit lega apabila diberi jaminan sendiri oleh menteri rumah saya akan disiapkan selewat-lewatnya hujung tahun ini juga.
“Harap-harap tahun depan dapatlah kami beraya di rumah sendiri pula,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui petang semalam.

Terdahulu, Normah dan suaminya menerima kunjungan daripada kumpulan SPNB serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diketuai Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Difahamkan, selain pasangan berkenaan, terdapat 30 lagi pemohon yang layak menerima rumah di bawah projek perumahan RTB Kampung Permatang Saga itu, namun 16 daripada mereka dikatakan telah menarik diri kerana tidak sanggup menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rumah tersebut.
Daripada 15 penerima yang layak itu pula, hanya dua projek berjaya disiapkan setakat ini, lapan projek terbengkalai manakala selebihnya masih di peringkat permulaan atau tapak kosong.
Bagi seorang lagi penerima, Mohamad Izham Ibrahim, 33, dia telah menunggu lebih lima tahun untuk melihat rumahnya siap, namun hampa.
Dalam pada itu, Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas memberitahu, pihaknya akan cuba memastikan tidak akan ada lagi sebarang projek perumahan yang ‘sakit’ atau tergendala pada masa depan.
“Saya pada mulanya agak tertekan juga kerana kawasan ini (Permatang Saga) agak lambat (projek perumahannya) kerana banyak janji diberikan oleh pemaju tapi malangnya tak dapat ditunaikan.
“Sebagai ahli Parlimen, saya secara peribadi memohon maaf tapi, insya-Allah, dengan adanya CEO (Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin) yang baharu ini, kita berharap agar projek-projek yang terbengkalai ini dapat diselesaikan selewat-lewatnya akhir tahun ini juga,” ujar beliau.- UTUSAN ONLINE










