KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan akan mengenal pasti dua lokasi di Sabah untuk pelaksanaan projek pembangunan yang dilihat dapat membantu meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lokasi itu mungkin dua buah kampung yang akan dibangunkan menggunakan pendekatan baharu dengan penglibatan agensi kerajaan Pusat dan negeri.
Kawasan yang dipilih akan dibangunkan secara lebih terperinci bagi melihat impaknya dalam membantu membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat di kawasan berkenaan.
“Kita akan bincang perkara ini dengan kerajaan negeri bagi mengenal pasti dua lokasi itu dan kemudian akan dimaklumkan kepada mesyuarat akan datang. Kita harap dalam tempoh sebulan ini, kita sudah dapat mengenal pasti dua lokasi untuk memulakan projek dengan pendekatan baharu yang lebih holistik bagi meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
“Kita akan memastikan projek ini dapat memberi pulangan pendapatan yang berterusan dan bukannya secara sekali terima.
“Ini antara usaha kerajaan menangani masalah kemiskinan di Sabah kerana negeri ini mempunyai kadar kemiskinan yang tertinggi di Malaysia. Menjelang 2025, kerajaan menyasarkan untuk menghapuskan golongan miskin tegar serta mengurangkan kadar kemiskinan,” katanya semasa siri jelajah sesi libat urus pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bersama kerajaan negeri hari ini.
Mustapa berkata, hasil perbincangan daripada sesi libat urus itu akan diambil perhatian untuk dibincangkan secara terperinci dengan pejabat Ketua Menteri Sabah.
Menurutnya, menerusi peruntukan pembangunan asas, Sabah menerima RM5.2 bilion iaitu 10.5 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan dalam Bajet 2022.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek pembangunan asas ini diharap dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah pada tahun hadapan susulan pemantauan rapi yang dilakukan di peringkat Persekutuan.
Tambah beliau, sebuah pasukan akan ditubuhkan untuk membolehkan kerajaan negeri berkongsi cadangan pembangunan di bawah Sabah Maju Jaya (SMJ) selaras dengan usaha melonjakkan kadar pertumbuhan negeri Sabah dan Sarawak.
Sekiranya kadar pertumbuhan itu gagal dipertingkatkan maka, usaha merapatkan jurang pembangunan antara negeri-negeri di Malaysia juga akan gagal.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.