PRN Melaka: Aktiviti perhimpunan, majlis sosial dilarang - Utusan Malaysia

PRN Melaka: Aktiviti perhimpunan, majlis sosial dilarang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan larangan bagi sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya berkuat kuasa esok hingga 27 November ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, larangan itu terpakai bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini termasuk kempen rumah ke rumah dan ceramah politik.

Beliau berkata, larangan itu dikeluarkan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes mendadak selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan (senarai negatif) dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang terkini.

“Sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Semua pihak dikehendaki mematuhi peraturan, SOP dan arahan yang telah ditetapkan demi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dapat mencegah peningkatan kes dan kejadian kluster,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

KHAIRY JAMALUDDIN

Khairy berkata, KKM menjangkakan banyak perhimpunan serta majlis sosial berkaitan dengan pilihan raya yang akan diadakan melibatkan ramai individu berkumpul dari seluruh negara.

Kata beliau, aktiviti tersebut akan meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti.

Menurutnya, berdasarkan pemantauan situasi Covid-19 dalam negara, antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster di Malaysia adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial.

“Sebarang perhimpunan atau majlis sosial yang dianjurkan tanpa mematuhi SOP termasuk penjarakan fizikal yang sukar diamalkan akan meningkatkan risiko penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Katanya, berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 [P.U.(A) 293/2021] yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], aktiviti perhimpunan adalah tidak dibenarkan;

Jelasnya lagi, perhimpunan yang tidak dibenarkan termasuk  bagi maksud keagamaan, perkahwinan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya