PPV Midvalley pula tutup, 282,428 dos vaksin diberi - Utusan Malaysia

PPV Midvalley pula tutup, 282,428 dos vaksin diberi

AZWAN Atan (depan, kiri) merupakan penerima dos terakhir yang ke-282,428 diraikan oleh Penyelaras PPV Midvalley Haliza Khalid (kanan) sebelum tamat operasi di PPV Midvalley Southkey di Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di pusat beli-belah Midvalley South Key, di sini menghentikan operasi selepas 89 hari dibuka sejak 19 Julai lalu bagi membantu pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam usaha mengekang Covid-19.

Pegawai Penyelaras PPV berkenaan, Mohd. Hairul Azni Abd. Hamid berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 282,428 dos suntikan vaksin telah diberikan kepada orang ramai.

Katanya, sejak dibuka, PPV Midvalley beroperasi setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam melibatkan seramai 200 petugas dalam satu-satu masa.

“Sepanjang tempoh itu juga, proses pemberian vaksin berjalan lancar di mana dua vaksin diberikan di PPV ini iaitu jenis Pfizer dan Sinovac.

“Jadi sempena hari terakhir PPV ini beroperasi, kami mengadakan sedikit penghargaan bagi meraikan petugas-petugas yang telah berkhidmat di sini sejak tiga bulan lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang terlibat termasuk polis, bomba, Hospital Pakar KPJ Puteri dan sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (myVAC).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Wilayah Selatan 1, Asmadi Mohd. Bakri memberitahu, PPV tersebut merupakan salah satu daripada PPV terbesar di negeri ini.

“Dalam usaha menyokong inisiatif kerajaan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok melalui vaksinasi, PPV ini diketuai Hospital Pakar KPJ Puteri dan dibantu Hospital Pakar KPJ lain seperti KPJ Johor; KPJ Bandar Dato’ Onn; KPJ Pasir Gudang dan KPJ Kluang,” jelasnya.

Bagi Azwan Atan, 30, yang merupakan individu terakhir divaksin di PPV berkenaan, dia bersyukur kerana masih sempat tiba walaupun bergerak dari Segamat pada pukul 9.30 pagi.

“Tarikh suntikan dos kedua saya memang pada hari ini, namun saya tidak tahu ia merupakan hari terakhir dan hanya beroperasi sehingga pukul 1 petang, kerana ketika mendapat dos pertama saya difahamkan ia dibuka sehingga malam.

“Mujurlah tergerak di hati saya untuk datang awal kerana jika tidak mungkin saya akan terlepas mendapatkan suntikan vaksin dos kedua di PPV ini,” katanya yang merupakan seorang pekerja swasta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN