KULIM: Tindakan seorang lelaki cuba membunuh diri dengan membakar selimut mengakibatkan pondok pekerja dan sebuah lori satu tan musnah dalam kebakaran di kawasan ternakan lembu di Junjung di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, lelaki berusia 33 tahun yang merupakan pekerja di situ bagaimanapun terselamat.
Dia dikatakan membakar selimut, namun bertindak melarikan diri kerana tidak tahan dengan bahang panas api.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam berkata, lelaki terbabit didakwa bertindak sedemikian kerana tertekan dengan rakan sekerja yang menyindirnya dengan menuduh suspek mengambil duit sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membeli dadah.
Menurutnya, kebakaran itu disedari oleh pengurus ladang sebaik sahaja tiba di lokasi berkenaan yang terletak di sebuah ladang kelapa sawit.
Katanya, seorang daripada tiga pekerja ladang ternakan itu yang berusia 33 tahun kemudian mengaku dia yang membakar pondok pekerja serta lori tersebut.
“Pengurus terbabit kemudian membawa pekerjanya itu untuk membuat laporan polis sebelum suspek ditahan untuk siasatan.
“Hasil siasatan lanjut suspek mengaku bertindak membakar selimut sehingga mengakibatkan pondok pekerja dan lori majikannya terbakar kerana tertekan dengan pekerja lain,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, suspek didapati negatif dadah dan polis merampas sehelai baju, seluar jeans, sepasang selipar dan pemetik api untuk siasatan.
Menurutnya, kebakaran tersebut melibatkan kerugian kerugian kira-kira RM10,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.