PETALING JAYA: Polis akan menyiasat dakwaan seorang wanita iaitu anak saudara kepada seorang lelaki dipercayai pengedar dadah yang meninggal dunia ketika serbuan polis di sebuah pangsapuri Taman Dato Senu, Sentul, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, wanita terbabit membuat laporan mendakwa polis menggunakan kekerasan terhadap suspek ketika melakukan tangkapan.
“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus terhadap laporan itu.
“Mayat suspek sudah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. Laporan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Azmi meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menyalurkan kepada polis dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/85 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dilaporkan meninggal dunia selepas polis menyerbu sebuah pangsapuri di Taman Dato Senu.
Dalam kejadian pada 5 petang itu, sepasukan polis menyerbu satu unit kediaman di tingkat tiga selepas menerima maklumat awam mengenai aktiviti pengedaran dadah. – UTUSAN ONLINE