Polis adakan 'snap check' di sempadan negeri ke Cameron Highlands - Utusan Malaysia

Polis adakan ‘snap check’ di sempadan negeri ke Cameron Highlands

MOHD. Yusri Hassan Basri (kanan) berbual dengan pelanggan sebuah restoran ketika membuat pemantauan SOP Tanah Rata, Cameron Highlands, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Sekatan jalan raya (SJR) mengejut atau ‘snap check‘ diadakan di sempadan negeri ke Cameron Highlands bagi memastikan tiada individu tanpa suntikan vaksinasi melepasi masuk ke kawasan peranginan itu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, SJR mengejut itu akan diadakan di Jalan Tapah-Cameron Highlands, Jalan Gua Musang-Lojing dan Jalan Simpang Pulai-Blue Valley.

Snap check ini dijalankan secara berkala dalam usaha memastikan kehadiran pengunjung dari negeri lain ke kawasan pelancongan ini ditapis dari awal.

“Kita tidak mahu mereka yang belum divaksin atau tidak lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 mengambil kesempatan masuk ke sini susulan kebenaran rentas negeri oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tumpuan ramai di Tanah Rata di sini hari ini.

Menurut beliau, pemantauan dari udara menggunakan dron juga dijalankan di kawasan tumpuan ramai yang boleh menyebabkan kesesakan luar biasa.

Katanya, selain rakaman gambar, hebahan awam secara terus dari udara turut dilakukan bagi memastikan pengunjung patuh kepada SOP.

“Pasukan pemantau pematuhan SOP Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands juga telah digerakkan bagi membuat pemantauan di restoran, hotel dan lokasi tumpuan ramai.

“Bagi pengunjung yang menginap di hotel atau inap desa, mereka perlu mengisi butiran diri pada borang pematuhan SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Menurutnya, polis sama sekali tidak berkompromi terhadap individu mahupun premis yang didapati melanggar SOP yang sedang berkuat kuasa.

“Kompaun akan dikeluarkan sekiranya didapati mereka ingkar SOP. Kita tidak mahu sikap ambil ringan akan menyebabkan berlaku peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai keadaan lalu lintas di Cameron Highlands, beliau memberitahu, aliran trafik terkawal meskipun terdapat sedikit pertambahan kenderaan.

Katanya, kira-kira 60 peratus pertambahan kenderaan direkodkan ke kawasan tersebut sejak aktiviti rentas negeri dibenarkan kerajaan.

“Memang terdapat sedikit kesesakan terutama di Kea Farm namun ia hanya keadaan biasa di mana pengunjung berhenti untuk membeli barang. Keseluruhannya, keadaan di sini adalah terkawal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN