PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan dibuat Majlis Tertinggi perikatan itu dalam mesyuarat khas yang diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan PRN Melaka semalam.
“Saya telah mempengerusikan mesyuarat khas yang dihadiri semua parti komponen termasuk Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan. Mesyuarat khas itu secara khusus diadakan bagi membincangkan hal-hal berkaitan PRN Melaka.
“Justeru kami sepakat menawarkan calon dalam PRN Melaka dan menggunakan satu lambang iaitu lambang PN,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, rundingan kerusi-kerusi yang akan ditandingi PN akan dimuktamadkan oleh jawatankuasa rundingan kerusi PN.
“Majlis Tertinggi PN memutuskan semua parti komponen untuk menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing.
“Seluruh tenaga dan upaya akan digerakkan bagi memenangi kepercayaan rakyat Melaka agar mencapai kejayaan dalam pilihan raya itu,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November depan manakala tarikh mengundi pula 20 November.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.