PADANG TERAP: Penantian peserta Felcra Belimbing, Tualak dekat sini sejak 40 tahun lalu untuk mendapatkan hak milik tapak rumah kediaman mereka serta tanah kebun, bakal berakhir tidak lama lagi.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, surat hak milik itu dijangka diserahkan kepada peserta pada awal Disember depan.
“Saya nak umumkan satu berita gembira kepada penduduk dan peserta Felcra Belimbing ini iaitu berkenaan dengan masalah geran tanah kebun dan geran tanah kediaman rumah masing-masing akan diperoleh tidak lama lagi.
“Saya beri jaminan bahawa geran itu selewat-lewatnya akan dikeluarkan dan diserahkan kepada peserta pada awal Disember ini.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sembang Santai Keluarga Malaysia Peserta Felcra Belimbing, Tualak di sini hari ini.
Mahdzir menambah, terdapat seramai 85 peserta yang menanti sejak sekian lama untuk berita gembira itu dengan mereka akan menerima hak milik tanah kebun getah seluas 4.01 hektar dan satu lot kediaman.
“Mereka ini telah menanti sejak sekian lama. Maka kita bersyukur kerana isu ini akhirnya dapat diselesaikan,” katanya.
Sementara itu salah seorang penerima manfaat tersebut, Rokiah Kadir, 67, menyifatkan pengumuman tersebut sebagai hadiah paling bermakna dalam hidupnya.
“Saya telah menjadi peserta Felcra di sini sejak 1981. Bagi saya, pengumuman menteri ini cukup menggembirakan dan amat disyukuri,” katanya.