PETALING JAYA: Perbankan antarabangsa dan luar pesisir dilihat sebagai aktiviti yang mampu menyebabkan negara kehilangan modal yang merupakan antara sumber penting negara.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, ini kerana modal digunakan untuk menjana kesan pengganda dalam ekonomi dan tanpa modal, penjanaan kesan pengganda akan berkurang.
“Sememangnya, semua negara di dunia menggalakkan kewujudan pusat kewangan luar pesisir. Malaysia turut mempunyai pusat tersebut yang terletak di Labuan.
“Pusat itu diwujudkan untuk pelabur-pelabur asing yang ingin menjimatkan cukai atau mengurangkan pendedahan dalam negara mereka.
“Kewujudannya itu memang tidak dapat dihalang tetapi apabila warganegara Malaysia menyimpan di luar negara, secara tidak langsung ia menunjukkan mereka tidak setia dengan negara sendiri kerana lebih rela menggunakan modal di negara lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujarnya, negara kini mengamalkan sistem cukai perolehan dan remit. Jadi, jika pendapatan diperoleh di Malaysia, ia sepatutnya dicukai di dalam negara tersebut.
Beliau menjelaskan, bagaimanapun, sekiranya terdapat warganegara yang berniaga di luar negara dan tidak membawa pendapatan itu masuk ke dalam Malaysia, ia bukan satu kesalahan.
Namun, individu yang sengaja ingin mengelak daripada membayar cukai dengan menggunakan kaedah melarikan cukai dan mengelakkan cukai akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Sebagai contoh, jelasnya, individu yang tidak pernah mendedahkan pendapatannya atau melakukan skim urus niaga supaya ia tidak dapat dilihat sebagai pendapatan kerana tidak mahu membayar cukai.
“Negara memang sudah ada undang-undang berkaitan pembayaran cukai dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebenarnya mempunyai kuasa yang sangat besar. Mereka boleh menggunakan dua cara bagi mengelakkan kesalahan itu terus dilakukan oleh warganegara.
“Misalnya, terdapat banyak kes orang berniaga di tepi jalan selama berpuluh-puluh tahun sehingga mampu meraih berjuta ringgit. LHDN boleh meminta nombor kad pengenalan mereka dan menyemak fail cukai dan sekiranya tiada, mereka boleh dikenakan taksiran anggaran.
“LHDN juga boleh memaksa pembayar cukai menyediakan penyata modal bagi melihat berapa jumlah cukai yang pernah dibayar atau belum dibayar serta jumlah pendapatan mereka selama tujuh tahun yang lalu,” katanya lagi.
Barjoyai memberitahu, setiap pembayar cukai tertakluk dengan peraturan itu dan jika diminta terpaksa akur. LHDN juga boleh bekerjasama dengan perbankan luar pesisir untuk membuat pendakwaan berdasarkan fakta yang jelas.
Namun begitu, beliau berkata, ia bergantung kepada karakter dan kecerdasan rohani setiap warganegara sama ada mereka merupakan orang yang bertanggungjawab, jujur dan ikhlas.
“Nilai etika seseorang memainkan peranan yang penting kerana walaupun menggunakan akaun luar pesisir tetapi tidak akan mengelak untuk membayar cukai dalam negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE