Peniaga minta kecualikan bayaran sewa premis - Utusan Malaysia

Peniaga minta kecualikan bayaran sewa premis

MOHAMAD Yusrizal Yusoff (dua dari kiri) mendengar keluhan peniaga mengenai sewa premis perniagaan di medan selera Kompleks MBAS, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 30 peniaga di medan selera Kompleks Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini memohon pihak berkuasa tempatan mengecualikan bayaran sewa premis selepas tidak beroperasi sejak tahun lalu. 

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, peniaga tersebut merayu kepada MBAS supaya dapat memberi pengecualian bayaran sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Mohamad Yusrizal berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada peniaga terlibat yang mendakwa tidak mampu menjelaskan bayaran sewa yang dikenakan oleh MBAS selepas mereka tidak beroperasi hingga hilang mata pencarian dalam tempoh tersebut.

“Setakat ini, MBAS  telah bersetuju mengenakan bayaran sewa dengan potongan sebanyak 50 peratus bermula dari Mac hingga Jun 2020 . Bagaimanapun peniaga di kenakan bayaran sewa sepenuhnya bermula dari Julai hingga Oktober 2020.

“Kebanyakan peniaga di sini berasa kecewa dan tidak mampu membayarnya kerana kehilangan sumber pendapatan sebelum ini. Mereka tidak mampu membayarnya sepenuhnya kerana sewa sebelum ini masih lagi tertunggak beberapa bulan,” katanya.

Menurut Mohamad Yusrizal, kebanyakan peniaga di sini baharu sahaja memulakan perniagaan dan kini tertekan kerana terpaksa membayar sewa yang tertunggak apatah lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Daerah (PKPD) sebanyak dua kali sebelum ini.

“Oleh itu, saya berharap MBAS dapat menerima rayuan mereka ini yang dibebani dengan hutang serta baharu sahaja nak bernyawa bagi memulakan perniagaan yang ditutup sekian lama,” katanya.

Menurut Mohamad Yusrizal, peniaga berkenaan juga kecewa dengan kenaikan parkir sewa khas daripada RM105 hingga RM145 hingga membebankan penyewanya.

Katanya, kenaikan sewa parkir itu dikenakan bermula  sejak Januari lalu dan kebanyakan yang menyewa parkir khas itu terdiri daripada peniaga di situ.

“Sepatutnya MBAS perlu menangguhkan kenaikan bayaran sewa parkir itu kerana aktiviti perniagaan baru sahaja bermula di kawasan itu. Ini secara tidak langsung membebankan lagi peniaga berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandaraya Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad  ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri telah membuat keputusan memberi potongan sewa premis bagi semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Kedah sebanyak 50 peratus selama enam bulan mulai Julai hingga Disember ini.

“Oleh kerana PBT terima keputusan tersebut pada September lalu, maka pelaksanaannya mulai Oktober 2021 sehingga Mac 2022,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN