Peneroka Felda Selendang rugi RM3,820 ditipu pinjaman tidak wujud - Utusan Malaysia

Peneroka Felda Selendang rugi RM3,820 ditipu pinjaman tidak wujud

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Hasrat seorang peneroka di Felda Selendang, Rompin dekat sini memulakan perniagaan dengan membuat pinjaman peribadi tidak kesampaian apabila kerugian RM3,820 ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 63 tahun menemukan iklan pinjaman wang tersebut di laman sosial Facebook pada 9 Oktober lalu.

“Warga emas itu tertarik dengan iklan pinjaman wang berlesen dan lulus dalam 24 jam lalu menekan pautan WhatsApp sebelum dia dihubungkan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Mr. Tan’.

“Mangsa bersetuju membuat pinjaman RM5,000 dengan kadar bayaran balik RM160 sebulan selama tiga tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, pada 10 Oktober lalu, suspek meminta mangsa memberikan beberapa dokumen termasuk gambar kad pengenalan dan nombor akaun bank untuk proses permohonan pinjaman.

“Keesokannya, mangsa dimaklumkan bahawa permohonan pinjamannya itu sudah diluluskan malah suspek turut menunjukkan surat pengesahan kelulusan daripada syarikat terbabit.

“Bagaimanapun mangsa diminta untuk membuat bayaran pelbagai prosedur proses pinjaman dan mangsa telah membuat lima transaksi pembayaran ke akaun berlainan berjumlah RM3,820,” katanya.

Sementara itu katanya, mangsa curiga dengan tindakan suspek yang masih mendesaknya melakukan pembayaran mula rasa tertipu.

“Mangsa membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN