Penduduk Selangor perlu bersedia hadapi gangguan bekalan air 13 Oktober - Utusan Malaysia

Penduduk Selangor perlu bersedia hadapi gangguan bekalan air 13 Oktober

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penduduk Selangor disaran bersiap sedia menyimpan bekalan air mencukupi bagi menghadapi gangguan selama enam hari bermula 13 Oktober ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari penangguhan kerja kerja penyelenggaraan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1 yang tertangguh sejak 2019 mengundang  risiko yang boleh mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual seperti yang pernah berlaku pada pertengahan tahun lalu.

“Kerja-kerja ini tertangguh sejak tahun 2019 dan penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kebocoran paip SSP 1 pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sebarang maklumat mengenai lokasi kawasan terjejas, pili air awam dan komersial serta perkembangan terkini gangguan boleh didapati di hentitugas.airselangor.com.

Sementara itu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, kerja-kerja penyelenggaraan itu diperlukan bagi menambah baik aset dan fasiliti bekalan air bagi mengelakkan kerosakan dan gangguan bekalan air secara mengejut.

“Kelulusan kerja telah diberikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) manakala kesan kerja akan membabitkan penghentian sementara tugas LRA SSP1.

“Tempoh penyelenggaraan bermula pukul 9 pagi sehingga 11 malam pada13 Oktober membabitkan 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang dan Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat serta Kuala Selangor,” katanya.

Air Selangor memaklumkan peringkat pemulihan bekalan air akan bermula jam 5 petang pada 14 Oktober secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 16 Oktober, pukul 9 malam.

Sebagai langkah sokongan, sebanyak 105 lori tangki air akan dihantar ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Pembelian air menerusi lori tangki air di empat stesen pengisian air setempat bagi pelanggan komersial turut disediakan manakala senarai 18 pili air awam dan stesen pengisian air boleh dirujuk di hentitugas.airselangor.com. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN