ALOR SETAR: Seorang isteri tidak dapat tidur menunggu kepulangan suami berakhir duka apabila suaminya yang terjatuh sungai berdekatan Taman Alor Rela, Titi Haji Idris di sini ditemukan lemas hari ini.
Isteri mangsa, Halida Halim, 47, yang tinggal di Kampung Pokok Asam di sini berkata, suaminya, Mohd. Nazri Musa, 51, yang mempunyai hobi menangkap hasil sungai kelihatan teruja ketika keluar rumah pada pukul 10 pagi semalam.
“Dia selalu keluar bersama rakan-rakan untuk melakukan hobi itu namun semalam dia sangat teruja walaupun saya menasihati supaya tidak pergi berikutan keadaan cuaca sekarang.
“Pukul 10 pagi dia keluar hingga ke petang tanpa menghubungi saya dan saya mula risau,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Halida berkata, mereka terkejut apabila menerima mesej daripada aplikasi WhatsApp daripada seorang rakannya mengenai kejadian menimpa suaminya pada kira-kira pukul 4.20 petang.

“Dalam mesej itu, rakan saya memberitahu orang kampung sedang mencari suami saya yang dikatakan lemas di dalam sungai tersebut.
“Saya sangat terkejut dan terus ke lokasi kejadian dan nampak hanya motosikal, kasut dan dompet suami sahaja ada di darat,” jelasnya.
Menurutnya, suaminya yang bekerja sendiri itu ditemukan pada pukul 7.07 pagi dalam keadaan terapung.
“Saya menerima panggilan daripada orang kampung menyatakan suami sudah ditemui dan saya reda dengan kejadian yang telah menimpa kami,” katanya.
Tambahnya, suaminya seorang yang sangat rapat dengan dua orang anaknya iaitu Mohd. Nuqman Mohd. Nazri, 23, dan Nur Hafizuna Mohd. Nazri, 18, dan kehilangannya amat memberi kesan buat keluarga mereka.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira 17 meter dari lokasi mangsa disyaki terjatuh.
“Mangsa telah diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Jabatan Forensik HSB untuk tujuan bedah siasat,” katanya.