SEREMBAN: Seorang pemandu van yang terlibat dalam kes kematian seorang kanak-kanak autisme, Nur Kasrena Darwisyah Mohd. Khairul, 8, yang ditemukan maut selepas ditinggalkan dalam kenderaan tersebut, direman tujuh hari bermula semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, perintah tahanan reman ke atas lelaki berusia 34 tahun itu dikeluarkan sehingga 18 Oktober ini bagi membantu siasatan.
Ia selepas semalam polis menahan pemandu van itu susulan laporan polis berhubung kematian kanak-kanak yang ditinggalkan selama tiga jam tanpa sengaja oleh suspek di hadapan rumahnya di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan di sini.
Siasatan awal mendapati mangsa sepatutnya dihantar ke Pusat Jagaan Harian di Taman Nusari Aman oleh pemandu van tersebut.
Bagaimanapun, pemandu van pulang ke rumah tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam kenderaannya dari pukul 2.30 hingga 5.30 petang.
Dalam pada itu, Mohd. Said berkata, urusan berkaitan hasil proses bedah siasat ke atas mangsa diserahkan kepada doktor dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Jenazah Nur Kasrena Darwisyah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sendayan pada pukul 3 petang tadi. – UTUSAN ONLINE