Pemandu lori mabuk, ganggu tugas polis ditahan - Utusan Malaysia

Pemandu lori mabuk, ganggu tugas polis ditahan

ROZE SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pemandu lori kontena ditahan setelah didapati berada dalam keadaan mabuk selain menghalang tugas anggota polis di Kilometer 106.4 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini, semalam.

Kenderaan berat itu diperiksa anggota polis dari Expressway Mobile Patrol Vehicles (EMPV) Zon Utara kerana didapati berhenti di lorong kecemasan, kira-kira pukul 6 petang.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, semasa pemeriksaan, lelaki berusia 33 tahun terbabit tidak dapat memberikan alasan jelas mengapa dia memberhentikan lori kontena tersebut di situ.

Kata beliau, pemandu terbabit kemudian dimaklumkan tentang kesalahan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Ketika anggota ingin mengeluarkan saman, suspek mengeluarkan telefon bimbitnya untuk membuat rakaman selain bertindak agresif dengan cuba merampas kad pengenalannya.

“Anggota memberi amaran supaya tidak mengganggu tugas mereka namun suspek masih berdegil dan tidak memberikan kerjasama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, suspek seterusnya dibawa ke Ibu pejabat Polis  Daerah (IPD) Kuala Muda untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian alkohol yang dilakukan mendapati kadar alkohol dalam nafas suspek melebihi had dibenarkan,” ujarnya. 

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 45(A) APJ 1987 iaitu memandu kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan.

“Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN