Pelantikan Azalina sebagai Penasihat Khas PM hadkan peranan dan kemampuan - Utusan Malaysia

Pelantikan Azalina sebagai Penasihat Khas PM hadkan peranan dan kemampuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) melihat pelantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengehadkan peranan dan kemampuan beliau.

Ketuanya, Aiman Athirah Sabu berkata, beliau memandang serius terhadap amalan pelantikan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri dalam kalangan ahli parlimen dan ahli politik ini yang mirip kepada amalan scheme of things.

Malah, pelantikan yang dimulakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini masih diteruskan oleh kerajaan pimpinan UMNO pada hari ini.

Katanya, pihaknya menghargai ketokohan Azalina dalam memperkasakan undang-undang dan hak asasi manusia sebagaimana pernah dibuktikannya melalui usaha mengangkat undang-undang seperti Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 serta prestasi beliau sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

“Kami percaya adalah lebih bijaksana serta suatu penghormatan selayaknya jika Azalina diberi tanggungjawab sebagai seorang menteri kabinet sesuai dengan keupayaan dan rekod beliau.

“Cadangan konstruktif beliau dalam agenda reformasi dan transformasi undang-undang, misalnya cadangan penggubalan Akta Anti Lompat Parti, adalah selari dengan semangat memorandum persefahaman (MoU) Transformasi Pentadbiran dan Kestabilan Politik yang dimeterai Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Aiman Athirah berkata, pelantikan beliau sebagai Penasihat Khas tanpa kuasa eksekutif kabinet, merupakan suatu pertindihan dengan tugas sedia ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Menurutnya, ia seolah-olah satu usaha terancang untuk mengehadkan peranan dan sumbangannya semata-mata sebagai seorang penasihat yang tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk negara.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN