Pelajar tahfiz, sekolah agama terima vaksin Covid-19 masih rendah  - Utusan Malaysia

Pelajar tahfiz, sekolah agama terima vaksin Covid-19 masih rendah 

NORLELA ARIFFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jumlah pelajar di sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok pengajian di Pulau Pinang yang telah menerima suntikan Covid-19 masih lagi rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, setakat ini hanya 27.13 peratus daripada mereka telah mendapat perlindungan vaksin Covid-19.

“Secara keseluruhan jumlah pelajar di tiga jenis sekolah agama di Pulau Pinang iaitu sekolah tahfiz, sekolah pondok dan sekolah menengah agama rakyat (SMAR) ialah sebanyak 5,654 pelajar.

“Daripada jumlah itu, hanya 1,534 telah menerima satu dos vaksin manakala yang belum divaksin ialah 4,120 (72.87 peratus) dan jumlah ini masih rendah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pulau Pinang memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja berusia bawah 18 tahun mulai 22 September lalu.

Menurut Norlela, Mesyuarat Covid-19 Imunisasi Taskforce Pulau Pinang telah dimaklumkan keputusan Kementerian Kesihatan tarikh akhir kesemua 10 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara walk-in akan dibuka ialah sehingga 31 Oktober ini.

Oleh itu katanya, ibu bapa dan waris remaja yang belajar di sekolah agama, tahfiz dan pondok pengajian Islam di negeri ini digesa hadir secara jumpa terus atau ‘walk in’ di 10 buah PPV yang masih beroperasi bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Saya minta ibu bapa atau waris untuk segera membawa anak-anak bagi mendapatkan vaksin kerana sekolah juga akan mula dibuka bagi sesi pembelajaran secara bersemuka tidak lama lagi.

“Sebanyak 10 buah PPV yang beroperasi sekarang ini akan ditutup bermula awal bulan depan, jika pelajar-pelajar tidak mendapatkan vaksin kami bimbang mereka perlu mendapatkan di klinik swasta yang kemungkinan dikenakan caj bagi perkhidmatan di situ berbanding percuma di PPV,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, seramai 85.9 peratus atau 121,489 daripada 141,500 golongan remaja di Pulau Pinang telah menerima vaksin dos pertama dan mereka juga mula menerima dos kedua sejak semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 126,452 orang adalah pelajar dari 400 buah sekolah yang berdaftar di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan seramai 112,126 atau 89.3 peratus telah menerima suntikan dos pertama,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan akan mempertimbangkan memberikan suntikan penggalak kepada 40,000 petugas barisan hadapan dan 482,000 warga emas dan pesakit komordid di Pulau Pinang dengan segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN