BALING: Seorang ibu buntu memikirkan nasib anak lelaki bongsunya yang menghidap penyakit kulit bersisik kronik, Ichthyosis selepas pelbagai rawatan dilakukan namun tidak menampakkan sebarang hasil untuk sembuh.
Menurut Salmiah Abd.Rahman, 52, anaknya, Mohd. Irshad Azizan, 14, menghidap penyakit kulit di seluruh anggota badan sejak berusia enam bulan dan masih tidak sembuh sehingga ke hari ini.
Bagaimanapun, katanya, dia dan suaminya, Azizan Mohd. Yusof, 61, tidak jemu-jemu berusaha memberi rawatan terbaik kepada anaknya dengan berjumpa doktor dan pakar kulit serta berubat secara tradisional.
“Pelbagai ikhtiar kami lakukan sejak Mohd. Irshad dikesan mengalami penyakit itu ketika berusia enam bulan namun keseluruhan kulit di badannya yang menggelupas dan gugur tidak pernah berkurangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Siput, di sini semalam.
Penyakit Ichthyosis terjadi dalam satu daripada 300,000 kelahiran dan ia melibatkan gen pesakit yang bermutasi serta sensitif terhadap perubahan suhu sejuk dan panas.
Mohd. Irshad mempunyai dua abang dan dua kakaknya yang berumur antara 21 hingga 32 tahun tetapi mereka tidak menghidap penyakit kulit tersebut.
Malah Salmiah memberitahu, dia terpaksa membelanjakan lebih RM300 sebulan untuk membeli krim pelembab dan ubat gatal bagi mengawal permukaan kulit menjadi kering dan mengelupas sehingga menegangkan struktur kulitnya.
“Walaupun Mohd. Irshad mungkin terpaksa menanggung penyakit kulit itu seumur hidup namun usaha untuk memberi rawatan tidak pernah terhenti,” ujarnya.
Ibu kepada lima anak itu berkata, dia tetap bersyukur anaknya itu berada dalam keadaan tanpa menghidap penyakit kronik lain dan dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain.
Jelasnya, Mohd. Irshad kini belajar di Tingkatan Dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siong di sini dan disenangi rakan sekolah serta mendapat perhatian guru.
“Sejak meningkat remaja, Mohd. Irshad dapat mengawal dirinya daripada terdedah kepada cahaya matahari bagi mengelak kulitnya mengelupas dengan lebih teruk,” katanya.
Sementara itu Mohd. Irshad berkata, dia reda dan tetap gembira meneruskan hidup walaupun mengetahui penyakit ini akan ditanggung seumur hidupnya.
“Saya lebih peka kepada situasi sekarang bagi mengelak kulit mengelupas dengan kerap mandi, memakai krim pelembab serta mengelak terdedah kepada cahaya panas.
“Pada masa sama, saya juga ingin belajar dengan rajin bagi mencapai cita-citanya menjadi seorang doktor untuk membantu merawat mereka yang mengalami penyakit seperti saya selepas ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE