Peguam mohon padam perenggan dalam pernyataan saksi - Utusan Malaysia

Peguam mohon padam perenggan dalam pernyataan saksi

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan yang mewakili peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah hari ini memohon untuk memadam sebahagian kandungan pernyataan yang dibuat oleh seorang bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan pada perbicaraan kes pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Harvinderjit Singh ketika mengemukakan permohonan lisan itu memberitahu, pihaknya memohon memadam 33 perenggan daripada keseluruhan 51 perenggan yang terkandung dalam pernyataan bertulis sepanjang 13 muka surat yang dibuat oleh Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad.

Beliau memaklumkan, pembelaan membantah kandungan pernyataan tersebut kerana saksi pendakwaan itu memberikan pandangan perundangan ketika membuat kesimpulan berhubung kes itu walhal beliau tidak mempunyai latar belakang undang-undang.

“Permohonan itu dikemukakan supaya keterangan yang boleh memprejudiskan anak guam kami yang terkandung dalam pernyataan bertulis itu tidak dikemukakan di mahkamah,” jelas beliau.

Pada peringkat itu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz kemudian mengesyorkan agar bantahan pembelaan itu didengar dan diputuskan terlebih dahulu sebelum pihaknya memanggil Syed Nasrul memberi keterangan.

Pendakwaan berhujah, 33 perenggan yang mohon untuk dipadam itu mengundang isu yang serius berkaitan fakta dan undang-undang kerana jika permohonan dibenarkan, ini bermakna pihaknya tidak dapat mengemukakan pernyataan saksi itu di mahkamah.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian mencadangkan supaya saksi berkenaan membacakan dahulu pernyataan saksi pada perbicaraan akan datang yang ditetapkan pada 8 Disember ini bagi membolehkan pembelaan menunjukkan perenggan yang dimaksudkan sebelum mahkamah mendengar bantahan itu.

Muhammad Shafee didakwa terhadap dua tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul.

Penyata itu bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.