Patuh arahan Ulil Amri ambil vaksin Covid-19 - Dr. Fadlan

Patuh arahan Ulil Amri ambil vaksin Covid-19

FADLAN MOHD. OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan antivaksin yang masih enggan divaksin sebaiknya akur dengan arahan dan cadangan kerajaan Pusat untuk mengambil vaksin Covid-19, bukan sahaja demi kesihatan diri sendiri malahan untuk orang sekeliling terutama kaum keluarga.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu), Prof. Madya Dr. Fadlan Mohd. Othman, sebagai Ulil Amri sesebuah kerajaan mempunyai tanggungjawab menjaga kemaslahatan penduduk negara ini dari sudut kesihatan dan keselamatan.

“Dalam Surah An Nisa’ ayat 83 antaranya bermaksud jika wujud perkara yang khilaf maka taatilah ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa).

“Dalam isu pihak yang pro vaksin dan antivaksin sememangnya wujud khilaf masing-masing ada hujah. Maka sewajarnya cadangan kerajaan untuk rakyat mengambil vaksin perlu dipatuhi,” katanya ketika ditemui di Mediu Desa Petaling hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kumpulan antivaksin kemungkinan terpaksa berdepan kehidupan yang sukar kerana tidak akan dibenarkan menikmati kemudahan kelonggaran seperti individu lengkap vaksinasi secara berterusan.

Beliau juga dengan tegas berkata, kerajaan akan ‘menyusahkan’ kumpulan tersebut yang terus enggan divaksin tanpa sebab yang dibenarkan.

Fadlan yang juga pensyarah dalam bidang hadis dan tafsir berkata, Ulil Amri mempunyai tanggungjawab memastikan rakyat tidak dijangkiti virus Covid-19 dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah pendekatan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan diikuti oleh Arab Saudi dan lain-lain negara maju.

“Memang pengambilan vaksin tidak diwajibkan, tetapi setiap orang mempunyai tanggungjawab memastikan orang sekeliling mereka turut selamat daripada dijangkiti virus Covid-19.

“Sebagai contoh, jika kita tidak mewajibkan pengguna jalan raya untuk mematuhi lampu merah sudah pasti ramai yang kemalangan kerana ingkar. Sebaiknya jika kita sayangkan nyawa patuhilah peraturan, bukan disebabkan undang-undang tetapi tugas kita menjaga keselamatan diri dan pengguna jalanraya lain,” katanya.

Dalam konteks bermasyarakat katanya, jika semua orang telah divaksin maka risiko untuk terkena jangkitan Covid-19 semakin minima.

Sebaliknya, kata Fadlan, jika masih ada yang masih enggan divaksin maka patuhilah peraturan ketat yang ditetapkan Ulil Amri untuk mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya