BATU PAHAT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan keselamatan lain akan terus mengukuhkan kawalan di sempadan perairan negara bagi memerangi tiga jenayah utama melalui Op Benteng Covid-19 yang sedang dilaksanakan kini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi yang dikendalikan Polis Gerakan Am (PGA) itu akan memfokuskan kepada jenayah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), penyeludupan dadah serta aktiviti kontraban seperti rokok dan arak.
Menurut beliau, bermula Januari hingga September lalu, nilai rampasan bagi ketiga-tiga aktiviti jenayah di seluruh negara adalah sebanyak RM177,286,253.
“Dalam hal ini, bukan hanya nilai rampasan yang diberi perhatian, namun kita turut melakukan tangkapan dengan Johor sahaja melibatkan seramai 273 suspek telah ditangkap dalam tempoh itu.
“Berdasarkan statistik, ia melibatkan 107 warga tempatan dan 166 warga asing yang terlibat dengan tiga aktiviti jenayah tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Lawatan Kerja ke Markas Taktikal Sungai Koris, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Muhammad Abdul Halim.
Menurut Mazlan, selain membanteras jenayah, kawalan ketat di setiap sempadan itu penting bagi menghalang penularan Covid-19 yang dikhuatiri dibawa masuk oleh pendatang asing.
Katanya, setakat ini seramai 253 pegawai dan anggota PGA Batalion 5 dan 6 kini ditugaskan di 22 pos kawalan sempadan perairan negara melibatkan jajaran Selangor ke Johor.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mazlan memaklumkan polis sudah membuka kertas siasatan terhadap kes seorang ahli politik susulan kenyataan yang berbaur perkauman terhadap seorang atlet badminton negara.
Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian mengenai kes tersebut,” ujarnya. – UTUSAN