DUNGUN: Pasaraya Wakaf Ummah milik Pas di Kampung Pak Sabah di sini yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM12 juta dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketika ini kemajuan projek komersial di kawasan seluas 1.5 ekar itu sudah mencapai tahap 40 peratus.
“Apabila siap kelak, kita menjangkakan dapat mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan kepada anak tempatan sekali gus meningkatkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Dana Fasa 2 Pasaraya Wakaf Ummah, di sini semalam.
Pasaraya wakaf yang pertama Malaysia itu mula dibina sejak September 2018, namun pembinaannya tertangguh berikutan pelbagai faktor termasuk dana dan pandemik Covid-19.
Tuan Ibrahim berkata, sehingga kini sebanyak 3.6 juta dana wakaf telah dikumpulkan bagi kerja-kerja pembinaan struktur bangunan perniagaan dua tingkat itu.
Katanya, bagi fasa dua ini, kerja-kerja tertumpu pada bahagian bumbung dan proses berkenaan bakal mengambil masa hingga enam bulan. – UTUSAN










