Pas saran Bersatu, UMNO cari penyelesaian kemelut politik - Utusan Malaysia

Pas saran Bersatu, UMNO cari penyelesaian kemelut politik

ABU Bakar Ali (dua kanan) menyerahkan sumbangan bakul barangan basah kepada wakil cawangan dalam program Jelajah Ziarah Prihatin PN Johor di Bandar Baru Uda, di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pucuk pimpinan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mencari kaedah penyelesaian terbaik berhubung kemelut yang melanda Melaka agar insiden berkenaan tidak merebak ke peringkat pusat.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Prof. Madya Dr. Mohd. Mazri Yahya berkata, perkara itu perlu dilaksanakan bagi mengelak pertelingkahan melibatkan pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, perselisihan melibatkan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi pertikaian di negeri itu ketika ini perlu diselesaikan secara baik.

“Jangan korbankan (kestabilan) negara hanya kerana beberapa kerusi. Bersatu dan UMNO perlu duduk bersama mencari formula beberapa kerusi yang menjadi pertikaian.

“Perkara ini perlu dibincangkan bukan untuk kebaikan satu parti sahaja tetapi seluruh negara,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Ziarah Prihatin Perikatan Nasional (PN) Johor di Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan tiada kerjasama antara UMNO dengan Bersatu dalam PRN Melaka selagi tiada perbincangan rasmi antara kedua-dua parti itu.

Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Mazri yang juga Pengerusi Lajnah Kesihatan Pas Pusat berkata, pintu rundingan pihaknya sentiasa terbuka untuk menjalin sebarang kerjasama dalam mencapai matlamat berkenaan.

“Pintu kita sentiasa terbuka untuk UMNO bekerjasama sehingga ke saat akhir (pilihan raya umum). Kerjasama ini bukan sahaja harapan ahli parti tetapi juga majoriti rakyat negara ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Ali pula berkata, semua pihak perlu fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat terutama mereka yang hilang kerja akibat pandemik Covid-19. 

“Sekiranya mana-mana pihak mahu berpolitik, mereka sepatutnya tunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 kerana itu merupakan masa yang paling sesuai dan kini sebaiknya menumpukan kepada kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Mengenai program tersebut, beliau berkata, sebanyak 1,000 bungkusan barang basah mengandungi ayam, ikan dan sayur diserahkan kepada lebih lebih 50 cawangan Bersatu, Pas dan Gerakan di daerah ini.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN