Parti Kuasa Rakyat mesra kerajaan, tidak dipengaruhi sesiapa 

Parti Kuasa Rakyat mesra kerajaan, tidak dipengaruhi sesiapa 

KAMARAZAMAN YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penubuhan parti baharu dinamakan Parti Penaja Kuasa Rakyat tidak didorong mana-mana pihak sekalipun pengasasnya mempunyai hubungan adik-beradik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Presidennya, Kamarazaman Yaakob antara lain menolak cakap-cakap penglibatan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam partinya. 

Jelas beliau, setiap keputusan dan tindakannya tidak pernah dipengaruhi sesiapa sejak menuntut pengajian di universiti sehinggalah terlibat dalam politik tanah air. 

“Walau bagaimanapun, parti ini telah membuat keputusan menjadi parti yang mesra kerajaan kerana apa yang ingin diperjuangkan tidak mampu terlaksana jika parti itu tidak mesra dengan kerajaan hari ini. 

“Menjadi hasrat kami untuk melahirkan sebuah parti berbilang bangsa dan kaum yang benar-benar demokratik dan akhirnya saya menemui rakan-rakan progresif di negara ini dan saya membentuk parti yang saya lenturkan.

“Kami (beliau dan Ismail Sabri) mempunyai kesamaan oleh kerana kami datang daripada anak seorang penoreh getah jadi sudah tentulah hati nurani kami dekat kepada rakyat miskin,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas Majlis Peluncuran Parti Kuasa Rakyat di The Diplomat, Perkarangan Tun Ismail, di sini petang ini. 

Dalam ucapannya tadi, kata Kamarazaman, partinya berkonsepkan Nasionalisme Marhaenisme yang memperjuangkan nasib rakyat terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) serta anak muda. 

Parti itu akan bersuara, bergerak dan berjuang dalam menuntut hak-hak dan keperluan golongan berkenaan dan anak muda selain menumpukan kepada pendidikan percuma, menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kesihatan percuma, perumahan, peluang pekerjaan, petani, kelestarian alam sekitar dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ‘orang tengah dan modal kaum’. 

Mengulas berkenaan kerusi yang akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15) akan datang, beliau berkata, pada peringkat awal pihaknya memilih untuk mendekati rakyat dan memperkenalkan identiti serta perjuangan parti. 

“Sama ada kami masuk atau tidak dalam pilihan raya akan datang bergantung kepada sokongan, dukungan dan penerimaan. Kita akan mengkaji selera pengundi, adakah anak muda menerima kami?

“Jadi, bukan sasaran kami untuk melihat kerusi-kerusi dan membilang kerusi (mahu bertanding) tetapi kami meneruskan perjuangan dan melihat suasana, andai masa itu kami perlu melibatkan diri di dalam pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN