KUALA LUMPUR : Tiada varian Mu, Lambda dikesan di negara setakat ini.
Ini kerana Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 95 peratus atau 1, 246 daripada 1,312 sampel yang menjalani aktiviti jujukan genom setakat ini dikenal pasti sebagai varian Delta.
Daripada jumlah itu, jelas beliau lagi, sebanyak 11 sampel dikategorikan sebagai varian Beta.
Sementara 55 lagi tergolong dalam bukan varian yang membimbangkan (VOC).
“Sampel yang diperoleh adalah daripada semua Jabatan Kesihatan Negeri. Sehingga kini juga, tiada varian Mu dan Lambda dikesan daripada sampel-sampel di Malaysia. Konsortium akan terus memantau varian SARS-CoV-2 di Malaysia.
“Bagi membolehkan Konsortium menjalankan analisis jujukan genom, MOSTI turut mengumumkan tambahan dana RM13.9 juta. Dana ini membolehkan kesinambungan dalam menjalankan penjujukan genom memandangkan ia sangat penting untuk memantau varian-varian baharu di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Datuk Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort) meminta Menteri menyatakan tentang perancangan kesiapsiagaan kementerian dalam menangani kemunculan varian-varian baharu Covid-19 yang membimbangkan.
Dalam pada itu, Khairy turut memaklumkan bahawa kerajaan membenarkan penggunaan kaedah heterologi atau campuran vaksin bagi pemberian suntikan penggalak pelalian Covid-19 yang dijadual bermula bulan ini.
Kebenaran itu adalah selaras dengan keputusan yang dipersetujui dalam perbincangan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) minggu lalu.-UTUSAN ONLINE










