KUALA LUMPUR: Tiada isu yang perlu ditimbulkan apabila Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said diminta menjadi timbalan speaker di Dewan Rakyat.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ini kerana pelantikan Azalina sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) bukan bertaraf menteri, sekali gus ia tidak menimbulkan sebarang masalah jka dijemput mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.
“Saya telah dimaklumkan oleh Pengerang bahawa pelantikan beliau bukan berstatus menteri, beliau bukanlah menjadi sebahagian pihak pentadbiran atau kerajaan, hanya menjadi penasihat kepada Perdana Menteri bukan menasihati kerajaan, berdasar pendekatan dan kebijaksanaannya.
“Oleh kerana beliau bukan ahli kerajaan, maka saya tidak nampak apa-apa masalah dalam permintaan saya untuk beliau pengerusikan apa-apa sidang dewan,” katanya.
Terdahulu, Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mempersoal tindakan Azalina diminta menjadi timbalan speaker di Dewan Rakyat selepas beliau dilantik menjadi penasihat kepada Perdana Menteri.
Katanya, ramai lagi Ahli Parlimen boleh dijemput menjadi timbalan speaker yang tidak memegang sebarang jawatan membabitkan pihak kerajaan.-UTUSAN ONLINE










