PETALING JAYA : Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini diasak berhubung isu penglibatan bumiputera dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang mencelah dalam sesi Sidang Dewan Rakyat hari ini turut mengkritik Ka Siong selepas mendakwa tiada penglibatan bumiputera dalam projek berkenaan.
” Saya ingin mengemukakan satu soalan.Penglibatan kontraktor bumiputera dalam projek itu tidak ada. Tidak ada. Sila teliti perkara ini.
“Menteri jangan syok sendiri. Bagaimana dengan penglibatan kontraktor bumiputera dan penglibatan kontraktor tempatan dalam ERCL?” katanya.
Bagaimanapun Ka Siong berkata, tidak ada kontraktor tempatan atau bumiputera yang diketepikan di bawah projek ECRL.
“Tidak benar. Perjanjian tambahan nombor 5 (SA5) telah disepakati oleh Pakatan Harapan pada tahun 2019 dan kami telah mengambil inisiatif untuk mematuhi syarat-syarat di bawah perjanjian tersebut.
“Untuk kerja awam, sebanyak 40 peratus perlu diberikan kepada kontraktor tempatan yang berjumlah RM8.6 bilion.
“Daripada jumlah ini, 30 peratus akan diberikan kepada kontraktor bumiputra,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE










