KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hangat apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoal tindakan Speaker yang bertindak sebagai peguam tentang kebocoran data isu Kertas Pandora.
Tindakan Anwar (PH-Port Dickson) itu susulan rayuan untuk membahaskan isu tersebut di Dewan Rakyat yang ditolak Datuk Azhar Azizan Harun sambil menjelaskan, Kertas Pandora bukan mengenai pengeluaran duit dari luar negara ke luar pesisir.
Sebaliknya, ia merupakan pendedahan pegangan saham di syarikat luar pesisir dan ia merupakan dua perkara berbeza.
“Semakan saya, sesetengah saham menurut kenyataan di luar sana, nilainya hanya kecil bukan bernilai berbilion iaitu hanya sekadar lima pound sahaja, kalau tak silap saya,” Jelas Azhar di Dewan rakyat hari ini.
Anwar bagaimanapun tetap mempertahankan tindakannya bahawa isu Kertas Pandora itu perlu dibahaskan di Parlimen.
“Mengapa Speaker nak jadi peguam kepada perasuah-perasuah ini? Kenapa? Saya ada dokumen, dan bagaimana seorang menteri boleh simpan saham di sana begitu banyak… (wang) ini dari mana dari langit? Itu bermakna dari sini… wang yang dibawa keluar, ratusan berbilion, saya tak paham kenapa nak jadi peguam bagi orang-orang ini.
“Kalau betul hanya lima pound bahas la di sini. Sumber saya bukan sekadar di media, sumber saya lebih dari itu sebab itu saya nak bawa perkara ini ke Parlimen untuk dibahaskan,” katanya lagi.
Jelas Anwar, tindakannya itu adalah bukan untuk menghukum, tetapi mahu rakyat mengetahui sumber sebenar dana berkenaan. -UTUSAN ONLINE