KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa Kerajaan Persekutuan supaya membuat laporan perbelanjaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) secara berkala di Parlimen.
Ini kerana, beliau mendapati, perbelanjaan yang dibuat dalam rancangan pembangunan lima tahun itu sebelum ini gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Jika kita perhatikan 20 tahun kebelakangan ini iaitu dari RMK-8 hingga RMK-11 meliputi Rangka Rancangan Jangka Panjang ke-3 iaitu dari tahun 2000 hingga 2010 dan Model Baru Ekonomi tahun 2010 hingga 2020, perbelanjaan kerajaan sepanjang tempoh tersebut adalah bernilai RM860 bilion dengan nilai purata RM43 bilion setiap tahun.
“RMK-12 bernilai RM400 bilion. Walaupun dengan perbelanjaan sebesar itu, ternyata kita masih gagal mencapai wawasan untuk meletakkan negara membangun,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Oleh itu, beliau menggesa kerajaan mencari cara dan kaedah untuk mengurangkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar, jurang antara wilayah, jurang antara kaum, jurang antara kumpulan pendapatan terutamanya daripada golongan B40 dan miskan bandar.
“Ia perlu menjadi teras rancangan pembangunan negara. Hanya dengan mengurangkan jurang perbezaan, maka barulah kemakmuran dapat dirasai bersama secara saksama.
“Bagi tujuan ini, saya mencadangkan agar kerajaan membuat laporan berkala kepada Parlimen mengenai perbelanjaan RM400 biliion untuk RMK-12 memandangkan ia adalah Rancangan Malaysia yang terbesar dalam sejarah negara,” katanya.
Katanya, perkara itu perlu dilakukan selepas melihat Rancangan Malaysia tidak membantu kepada kadar pertumbuhan negara yang mencatatkan 6.2 peratus setahun pada tahun 1971 hingga 2015, sebaliknya kadar itu turun kepada 2.7 peratus setahun bagi tempoh 2016 hingga 2020.
“Pada tahun 2020 pula, pendapatan negara kasar Malaysia pula adalah 20 peratus di bawah tahap negara maju. Ini bukanlah suatu perkembangan yang baik dan memberangsangkan, yang kita semua boleh banggakan.
“RMK-11 pula nampaknya jauh tersasar dari sasaran sebenar. Daripada enam pencapaian matlamat yang disasarkan, hanya satu sahaja yang menepati sasaran manakala bagi sasaran ekonomi mikro terpilih hanya dua daripada lapan sasaran yang ditepati,” katanya.
Di samping itu, katanya, kadar inflasi yang dinilai melalui kuasa beli pengguna 10 tahun kebelakangan ini meningkat sebanyak 16.7 peratus dan ekuiti korporat rakyat tempatan sama ada bukan bumiputera atau bumiputera pula menurun kepada 30.7 peratus dan 16.2 peratus.
“Semestinya, ini bukanlah suatu pencapaian yang boleh kita banggakan. Kita sedar dan tahu bahawa terdapat cabaran globalisasi, liberalisasi mahupun pandemik yang memungkinkan segala perancangan pembangunan negara tidak menepati sasaran.
“Namun, dalam masa yang sama, perlu bagi kita bermuhasabah diri dengan melihat segala kekurangan yang ada. Adalah penting untuk kita menilai cara pelaksanaan, sama ada terdapat banyak ketirisan atau apa sahaja penyebab lain yang membuatkan kita tidak berjaya,” katanya.
Beliau turut memberikan contoh bagaimana Sabah dan Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli yang paling tinggi dalam negara.
“Namun statistik menunjukkan Sabah dan Sarawak masih lagi jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Justeru, kerajaan perlu jujur dan tunaikan kesemua 21 tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang mana 17 daripadanya telahpun berjaya ditunaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila mengambil alih tampuk pimpinan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu,” katanya.- UTUSAN ONLINE