Pacu pertumbuhan pasaran modal yang kompetitif, inklusif - Utusan Malaysia

Pacu pertumbuhan pasaran modal yang kompetitif, inklusif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK 2001, Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah melancarkan beberapa pelan pembangunan yang dinamakan sebagai Pelan Induk Pasaran Modal (CMP). CMP-1 yang dilaksanakan antara  2001 hingga 2010 menumpukan kepada usaha membangunkan asas dan ekosistem pasaran modal yang mampan. CMP-2 pula memfokuskan kepada beberapa strategi untuk meningkatkan keupayaan pasaran disamping mengukuhkan tadbir urus perniagaan bagi mewujudkan kestabilan dan meningkatkan integriti pasaran. 

Antara pencapaian pelan-pelan induk ini adalah pasaran modal tempatan yang lebih kukuh dan berkembang serta telah menempuhi fasa turun dan naik dalam menghadapi cabaran ekonomi termasuklah menangani cabaran pandemik Covid-19. Nilai pasaran modal telah meningkat dari RM2.0 trilion pada awal 2011 kepada RM3.4 trilion di penghujung 2020.

Pelan-pelan induk ini juga memberikan penekanan khusus kepada usaha untuk membangunkan pasaran modal Islam (ICM) negara. Berdasarkan usaha ini, Malaysia telah diiktiraf sebagai antara peneraju utama dalam pasaran ICM dunia. Untuk tempoh 2011 hingga 2020, Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) bagi pasaran ICM di negara ini adalah sebanyak 7.5 peratus. Ia lebih tinggi berbanding CAGR keseluruhan pasaran modal iaitu sebanyak 5.3 peratus. 

Susulan kejayaan CMP-1 dan CMP-2, baru-baru ini CMP-3 telah dilancarkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. CMP-3 yang akan dilaksanakan untuk tempoh lima tahun bertujuan mencapai tiga bidang penghasilan yang diinginkan iaitu keperluan berinovasi secara berterusan untuk kekal relevan, menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan yang cekap dan dipercayai serta pengukuhan daya saing dengan mewujudkan kepelbagaian perkhidmatan.

Bagi pembangunan ICM pula, CMP-3 menggariskan keutamaan bagi Malaysia untuk mengambil peranan utama dalam menerajui pembentukan landskap masa hadapan kewangan Islam dan keperluan memastikan terdapatnya keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kebajikan masyarakat. Bagi maksud ini, CMP-3 menjurus kepada perbincangan berkenaan hubungan Maqasid Syariah dengan pembangunan ekonomi oleh setiap golongan masyarakat. 

CMP-3 menyatakan teras utama Maqasid Syariah, iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda adalah bertepatan dengan intipati pembangunan ekonomi lestari yang dipelopori Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan telah diterima pakai oleh ketua-ketua negara. CMP-3 memberi peluang dan ruang bagi peserta-peserta kewangan Islam, khususnya dalam sektor ICM, untuk mereka melaksanakan idea baharu dan berinovasi, terutamanya dalam menyediakan perkhidmatan berasaskan kewangan sosial Islam seperti sedekah, wakaf dan zakat. 

Sesungguhnya dokumen CMP-3 telah menggariskan satu pelan induk yang amat menyeluruh untuk setiap pemegang taruh termasuklah dalam ICM. Dibantu dengan prasarana mampan, pilihan yang ada hanyalah untuk terus maju ke hadapan. Sepertimana pesan Pengerusi Eksekutif SC, Datuk Syed Zaid Albar dalam dokumen CMP-3 iaitu “dayung sudah di tangan, perahu sudah di air”.

 

*Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN