BALIK PULAU: Selain bergelar seorang usahawan dodol tradisi, siapa sangka Nur Aimi Razak, 29, turut mempunyai kemahiran menghias dekorasi tiga dimensi (3D) pada jeli yang dapat menjana pendapatan tambahan buatnya dan keluarga.
Tangan seni Nur Aimi yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata itu ternyata menarik perhatian ramai terutama suri rumah yang mahu mempelajari kemahiran menghias jeli 3D itu.
Nur Aimi berkata, dia bercadang membuka kelas secara dalam talian pada November nanti bagi memudahkan orang ramai yang berminat untuk mempelajari kemahiran berkenaan mendalami ilmu tersebut dengan lebih mudah.
“Permintaan daripada orang ramai untuk mempelajari seni hiasan kek jeli 3D ini sentiasa ada terutama di luar Pulau Pinang, cuma masa untuk saya buka kelas secara bersemuka tidak sesuai lagi ekoran pandemik Covid-19.

“Selain itu, saya juga perlu membahagikan masa sebagai usahawan Dodol Desaku, jadi kelas dalam talian secara berkala adalah yang paling sesuai untuk mereka yang mahu mendalami ilmu hiasan kek jeli 3D ini,” katanya di sini semalam.
Menurut Nur Aimi, sebelum ini dia turut membuka kelas menghias kek jeli 3D secara persendirian dan juga kelas untuk kanak-kanak di ekspo serta pameran yang dijalankan oleh pelbagai agensi.
“Kek jeli 3D ini ada peminatnya yang tersendiri dan saya gembira dekorasi 3D ini semakin mendapat tempat di pasaran.
“Malah, ada anak murid saya juga telah berjaya menjana pendapatan tambahan selepas menghadiri kelas-kelas yang saya anjurkan,” katanya.
Tambahnya, proses menghasilkan dekorasi 3D di atas jeli tidak mudah kerana memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.
“Sekurang-kurangnya dua atau tiga jam diperlukan untuk menyiapkan dekorasi 3D di atas jeli dan kita perlu sentiasa fokus untuk memastikan dekorasi yang dihasilkan menepati piawaian.
“Minat juga perlu seiring kerana tanpa minat kita tidak akan dapat menghasilkan dekorasi 3D yang cantik dan penuh seni,” katanya.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai dekorasi 3D di atas jeli yang dihasilkan oleh Aimi anda boleh meninjau Facebook 3D Jelly Cake by Aimi Razak dan ar_jellyblooms (Instagram).- UTUSAN ONLINE