Nenek terima kunjungan lebih 20 individu hulur bantuan  - Utusan Malaysia

Nenek terima kunjungan lebih 20 individu hulur bantuan 

ZULKIFLI Yaacob (kanan) ketika berkunjung ke kediaman pasangan Siti Fatimah Abdullah dan Mohd. Ismail Lai Abdullah di Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Pulau Pinang semalam. - UTUSAN/NOOR HASLIZA NUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pasangan suami isteri yang tabah menjaga dua cucu mereka sejak kecil kini tidak menang tangan menerima kunjungan dan sumbangan daripada orang ramai malah sehingga ke tengah malam.

Akui Siti Fatimah Abdullah, 59, dia tidak menyangka jumlah kehadiran tetamu yang begitu ramai  termasuk dari Sungai Petani, Kedah selepas berita mengenai kisah kehidupannya membesarkan dua cucu disiarkan Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Siti Fatimah, mereka yang datang meluahkan rasa simpati dengan nasib yang menimpa Muhammad Khuzhairy Syamin Amarrafael Abdullah, 4; dan Puteri Nor Airysha, 2, setelah ditinggalkan ibu bapa sejak kecil.

“Ramai orang mai (datang) ke rumah saya sejak minggu lalu. Masing-masing daripada mereka datang secara berasingan dan ada yang berkumpulan dari daerah ini dan Kedah.

“Sumbangan yang diberikan untuk dua cucu akan disimpan dan digunakan untuk masa depan mereka. Saya nekad menjaga mereka sampai akhir hayat.

“Terima kasih atas segala keprihatinan dan sumbangan yang disalurkan tidak kira daripada saudara-mara atau komuniti kampung dan orang ramai kepada kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Gertak Sanggul, di sini semalam.

Terdahulu, kediaman Siti Fatimah dan suaminya, Mohd. Ismail Lai Abdullah, 75, dikunjungi Pengarah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Zon Utara 2, Zulkifli Yaacob kira-kira pukul 4 petang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali ketika dihubungi memberitahu, pihaknya sedang meneliti keperluan semasa pasangan suami isteri yang terpaksa mengikat perut demi membesarkan dua cucu mereka itu.

Menurut beliau, ZPP kini dalam proses pertimbangan untuk menambah jumlah bantuan zakat bulanan berdasarkan kelayakan penerima tersebut.

“Bantuan zakat yang diterima suami wanita itu ketika ini adalah sebanyak RM300 sebulan dan hasil siasatan lanjut mendapati penerima tersebut tidak mengemas kini maklumat berkaitan kepada pihak ZPP selama dua tahun dan kali terakhir pada 2018.

“Semasa itu, penerima belum ada cucu yang perlu dijaga. Kita akan tambah lagi bantuan bulanan sebanyak RM100 menjadi RM400 sebulan dan akan melihat bantuan lain secara one-off jika ada keperluan,” katanya.

Pada 20 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan pasangan suami isteri tersebut terpaksa mengikat perut demi membesarkan dua cucu yang ditinggalkan ibu bapa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN