PASIR GUDANG: Walaupun lebih dua tahun kejadian pencemaran Sungai Kim Kim berlalu, penduduk yang tinggal berhampiran mengakui masih bimbang kejadian yang sama berulang.
Pada Rabu dan Jumaat lalu, penduduk mendakwa air Sungai Kim Kim bertukar warna hitam tetapi tidak mengeluarkan bau, sehingga menimbulkan kebimbangan masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa toksik ke dalam sungai berkenaan.
Disebabkan tiada pilihan mereka tetap meneruskan kehidupan seperti biasa sambil mengharapkan tragedi pada Mac 2019 tidak berulang lagi walaupun dalam skala kecil.
Seorang penduduk Hadlisuri Rabu, 45, berkata, boleh dikatakan setiap kali menjenguk ke sungai terbabit yang terletak di belakang rumahnya, dia terfikir sama ada air sungai di situ normal atau tercemar.

“Kalau tengok secara kasar pada air sungai memang kadang-kala nampak macam tiada apa-apa, tetapi dari segi kualitinya kami tak tahu bagaimana sama ada mengalami pencemaran atau tidak melainkan sekiranya terdapat bau yang kurang menyenangkan.
“Malah, pada Rabu dan Jumaat baru-baru ini air sungai jadi hitam, tetapi tidak pula mengeluarkan apa-apa bau, kami bimbang sekiranya masih ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa toksik di sungai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Bukit Pulai, semalam.
Baru-baru ini, Agensi Angkasa Malaysia (MySA) meletakkan Johor sebagai salah sebuah negeri yang dikenal pasti mempunyai banyak kawasan dijadikan tempat buangan sisa toksik haram di negara ini bersama-sama Selangor, Pahang dan Perak.
Ia berdasarkan cerapan imej menggunakan satelit secara berkala yang dijalankan MySA di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) susulan tragedi Sungai Kim Kim, dengan sebahagian data cerapan berhubung pelupusan sisa toksik itu telah dibentangkan kepada pihak berkuasa negeri terbabit untuk penelitian dan tindakan seterusnya.
Justeru itu, Hadlisuri mengharapkan pihak berkaitan dapat turun padang dengan lebih kerap dan bukan hanya melawat kawasan apabila berlaku sebarang insiden kerana tanpa kerjasama semua, penduduk yang menanggung akibatnya.
Seorang lagi penduduk Nur Satria, 32, berkata, dia khuatir sekiranya cuaca hujan yang melanda kawasan itu akan diambil kesempatan oleh pihak tertentu yang membuang apa-apa bahan ekoran aliran air deras.
Menurutnya, pihak berkuasa seharusnya kerap menjalankan pemantauan kualiti air sungai supaya kebersihan dapat dipelihara bagi menjamin tahap keselamatan dan kesihatan penduduk.
Pada 19 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan Sungai Kim Kim yang pernah menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah akibat pencemaran sisa toksik pada Mac 2019 dikelaskan dalam Kelas V yang dikategorikan sebagai paling tercemar dan tidak sesuai untuk sebarang kegunaan mengikut Standard Kualiti Air Kebangsaan (NWQS).
Dapatan itu hasil sampel air yang diambil di dua lokasi berbeza pada 5 Mac lalu dengan kerjasama sebuah makmal bebas bertauliah di Johor Bahru. Makmal tersebut melakukan ujian lebih dua minggu bagi mendapatkan keputusan tepat.
Keputusan makmal yang diperoleh pada 22 Mac mendapati parameter bagi Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) di Sungai Kim Kim didapati berada pada tahap 16 mg/L, melebihi kadar sepatutnya bagi sungai Kelas III yang hanya sekitar 6 mg/L.
Namun, BOD bagi Sungai Selangkah lebih mengejutkan apabila bacaan direkodkan terlalu tinggi iaitu 88 mg/L iaitu berkali ganda dari Sungai Kim Kim. Bagaimanapun, kedua-dua bacaan itu tetap berada dalam kelas tercorot NWQS iaitu Kelas V dengan takrifan paling tercemar.
Sementara itu Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Dr. Zaki Zainudin berkata, terdapat tiga faktor utama yang mampu mempengaruhi kualiti air sungai iaitu pencemaran, morfologi dan ciri fizikal yang lazimnya status kualiti ditakrif mengikut parameter fizikal, kimia dan biologi bagi memberi gambaran keseluruhan penggunaan air.

Beliau berkata, bagi faktor pencemaran, ia dipecahkan pula kepada beberapa kategori seperti punca pencemaran tetap yang turut digelar punca pencemaran titik; pencemaran tidak tetap dan pembuangan sisa haram.
“Punca pencemaran tetap adalah pelepasan air sisa yang jelas dan mempunyai aliran. Pelepasan ini ada yang terkawal dari sisi undang-undang dan ada juga yang haram seperti air sisa dari restoran, kedai cuci kereta dan pasar basah.
“Pencemaran tidak tetap pula misalnya akibat hujan apabila bahan-bahan pencemar yang berada di permukaan dibawa oleh larian air ke dalam sungai. Ini termasuklah kotoran, baja, racun perosak dan sisa-sisa lain seperti air tanah akibat hakisan.
“Manakala dalam aspek pembuangan sisa haram ia sudah tentu akan menyebabkan pencemaran sungai. Contohnya seperti apa yang berlaku di Sungai Kim Kim sendiri pada 2019 yang bukan sahaja menyebabkan pencemaran sungai, malahan pencemaran udara dan memudaratkan kesihatan awam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujar Dr. Zaki, faktor morfologi dan fizikal yang mempengaruhi kualiti air sungai pula berlaku sekiranya terdapat proses-proses biokimia dan fizikal di dalam sungai yang membantu melupuskan sisa seperti penguraian organik oleh mikroorganisma.
Dalam proses itu katanya, bahan organik yang menjadi makanan kepada mikroorganisma akan diurai kepada karbon dioksida, air dan ammonia dengan syarat adanya oksigen terlarut yang mencukupi sehingga mampu merendahkan kandungan organik di dalam sungai.
Malah, sekiranya bebanan sisa organik terlalu besar, maka sungai akan menjadi tercemar dan oksigen terlarut akan lupus.
“Saiz sungai, pergerakan atau kadar alir sungai juga mempengaruhi kualiti air sungai. Contohnya, terdapat kawasan kuala sungai lebih sensitif kepada pencemaran kerana pegerakan air yang terbantut akibat kesan pasang surut, iaitu apabila air laut menghalang pergerakan air di kuala sungai.
“Dalam keadaan begini, pengudaraan menjadi terhad dan kandungan oksigen terlarut menjadi rendah. Fenomena ini juga boleh menyebabkan bahan tercemar terkumpul di kuala sehinggalah air surut, barulah ia akan lepas ke laut,” katanya. – UTUSAN ONLINE