fbpx

Nafas sumbang RM100,000 kepada Peladang Beluran

RONALD Kiandee Prihatin menyampaikan  bantuan kepada salah seorang penerima dalam majlis Prihatin Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan Beluran, Sabah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) hari ini menyampaikan sumbangan prihatin peladang sebanyak RM100,000 kepada ahli peladang dan penduduk setempat di Pertubuhan Peladang Kawasan Beluran, Sabah.

Menurut Nafas, lebih daripada RM1 juta sumbangan sudah diperuntukkan atas prinsip corporate social responsibility (CSR) bagi program Prihatin Peladang yang memberi manfaat kepada hampir 10,000 keluarga yang menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai antara RM100 hingga RM200 setiap penerima.

Katanya, penyampaian sumbangan itu juga merupakan sebahagian daripada agihan wakalah zakat perniagaan Nafas kepada asnaf yang terdiri daripada ahli peladang dan masyarakat setempat.

“Sumbangan di bawah Prihatin Peladang ini dilaksanakan oleh Nafas secara berperingkat di seluruh negara bermula pada awal tahun ini bagi membantu golongan sasar khususnya dalam kalangan para petani, penternak dan nelayan.

“Penganjuran program ini adalah bagi menunjukkan komitmen Nafas dalam memastikan setiap keuntungan dari aktiviti perniagaan Nafas dikongsi semula bagi manfaat ahli peladang serta golongan yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee turut menzahirkan penghargaan kepada Nafas atas keprihatinan yang berterusan kepada ahli-ahli peladang dan penduduk setempat terutamanya lebih-lebih pada musim pandemik Covid-19 ini.

“Dalam mendepani situasi semasa di mana pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir ini, adalah diharapkan bantuan yang disampaikan itu sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban para penerima hari ini.

“Inisiatif Prihatin Peladang Nafas ini juga adalah selari dengan komitmen Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk memastikan kebajikan golongan yang memerlukan khususnya dalam kalangan ahli keluarga petani, penternak dan nelayan sentiasa diberi keutamaan,” katanya dalam majlis Prihatin Peladang yang dianjurkan di Pertubuhan Peladang Kawasan Beluran.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Samad Jambri, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razalli dan Pengarah Bisnes Sektor Awam Nafas, Saripol Baharin Karim

Menurut Dr. Ronald, Nafas sebagai sebuah institusi yang menerajui pergerakan pertubuhan peladang mesti terus diperkasakan menjadi badan perniagaan yang berdaya maju sekaligus membina pergerakan Pertubuhan Peladang yang kompeten dan berdaya saing.

“Saya yakin dan percaya, pertubuhan peladang di semua peringkat akan meneruskan fungsi utamanya dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti dan dinamik serta akan terus berusaha terlibat secara aktif dalam keseluruhan rantaian nilai industri padi negara, meneroka aktiviti nilai tambah dan hiliran khususnya dengan teknologi moden dan digital agar produktiviti dimaksimumkan serta pendapatan dapat ditingkatkan,” katanya. 

Jelas beliau, perkara itu penting supaya model perniagaan yang lebih lestari dapat diwujudkan bagi memberi pulangan lebih baik kepada golongan sasar.

“saya sememangnya sentiasa mengikuti prestasi pertubuhan peladang dari semasa ke semasa dan akan menyokong apa-apa usaha bagi terus memperkasakan Pertubuhan Peladang menjadi sebuah entiti yang berdaya maju dalam industri agromakanan negara,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI