MKT UMNO arah jentera bersiap untuk PRN Melaka - Utusan Malaysia

MKT UMNO arah jentera bersiap untuk PRN Melaka

AHMAD Maslan ketika sidang akhbar di Menara UMNO, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO mengarahkan jentera partinya supaya membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini.

“Kita bermesyuarat petang tadi bersama Biro Politik UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, malam ini juga dipengerusikan beliau.

“Ketika mesyuarat biro politik, tentulah ada pembentangan yang dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka dan kita meneliti segala laporan yang dibuat.

“Di peringkat MKT juga, saya ada membuat pembentangan mengenai PRN Melaka, tentulah ada perkara dibincangkan, tetapi apa yang penting adalah kita mengarahkan jentera semua peringkat membuat persiapan rapi bagi memenangi PRN Melaka,” katanya kepada pemberita sejurus selesai mesyuarat MKT malam ini.

Pada masa sama Ahmad berkata, UMNO juga akan membuat keputusan berdasarkan mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin ini.

“Tentu kita tunggu dengan penuh debaran keputusan SPR, walau apa pun semua jentera perlu siapkan portfolio dengan rapi sama ada PRN diadakan dalam tempoh terdekat atau ditangguhkan tetapi sudah tentu PRN tetap diadakan, itu sebab kita arahkan jentera supaya buat persiapan,” katanya.

Namun Ahmad berkata, soal pengagihan kerusi mahupun kerjasama dengan parti lain hanya akan diputuskan kemudian.

“Agihan kerusi tidak diputuskan pada malam ini, akan ada mesyuarat sekali lagi. Itu kita akan maklumkan kemudian, kita akan buat keputusan dalam mesyuarat lain,” katanya.

Selain PRN Melaka, mesyuarat MKT malam ini turut mengesahkan pengguguran keahlian UMNO terhadap Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan yang sebelum ini adalah ahli UMNO Bahagian Tangga Batu.

Dalam pada itu Ahmad berkata, persidangan UMNO Cawangan akan diadakan di 191 Bahagian mulai 15 Oktober hingga 30 November ini.

“Adalah diharapkan agar mesyuarat Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri dapat berjalan lancar,” katanya.

Tambahnya, MKT turut menyokong keputusan yang dibuat oleh kerajaan baru-baru ini berhubung penubuhan Jawatankuasa khas siasatan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Kassim, selain membincangkan mengenai semakan semula berkenaan kes Pulau Batu Puteh dan siasatan mengenai dakwaan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya