Melaka tumbang: Serah kepada Presiden UMNO - PM - Utusan Malaysia

Melaka tumbang: Serah kepada Presiden UMNO – PM

ISMAIL Sabri Yaakob melakukan gimik pelancaran Majlis Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di perkarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri menyerahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyelesaikan isu pergolakan Kerajaan Negeri Melaka.

Perdana Menteri berkata, ini kerana isu berkenaan adalah melibatkan urusan parti dan beliau difahamkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sudah mengadakan perbincangan dengan Ahmad Zahid.

“Isu (Kerajaan Negeri) Melaka ini saya serahkan kepada Presiden UMNO untuk menyelesaikannya. Lagipun ini melibatkan urusan parti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 di sini hari ini.

Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali telah tumbang kerana hilang sokongan majoriti selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan penarikan sokongan mereka terhadap Kerajaan Negeri Melaka.

Mereka ialah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Ismail Sabri berkata, beliau memahami kegusaran rakyat jika berlaku sekali lagi pilihan raya negeri (PRN) seperti di Sabah kerana ia menjadi punca peningkatan semula kes Covid-19. 

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya diadakan PRN Negeri sekalipun, beliau percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) ketat dengan membuat kawalan rapat.

Kata beliau, ini termasuk melibatkan perbincangan lanjut dengan Kementerian Kesihatan jika PRN Melaka terpaksa diadakan.

“Dalam isu ini rakyat risau berlaku PRN macam di Sabah. Saya faham, media sosial saya dihujani pelbagai pandangan rakyat ramai bimbang takut kalau ada PRN seperti di  Sabah.

“Sabah dulu kes rendah, tapi disebabkan PRN akhirnya meningkat semula dan ramai bimbang tentang ini. Tetapi setakat ini masih terlalu awal, saya pun tidak tahu apa akan berlaku kita tunggulah apa yang diputuskan oleh TYT Melaka (Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam) dan kita tunggulah,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya