GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot tunda dan tongkang (barge) kerana disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran serta menggajikan kru asing tanpa permit yang sah semalam.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tunda bersama tongkang itu ditahan kapal Maritim (KM) Sikuati pada jarak 0.92 kilometer timur Pulau Kendi yang sedang melaksanakan Op Pertiwi sekitar pukul 9 pagi semalam.
“Bot tunda yang dikendalikan lima kru termasuk nakhoda, terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia 22 hingga 34 tahun didapati memilki dokumen pengenalan diri serta permit kerja, namun mereka gagal mengemukakan dokumen kebenaran berlabuh dari Pengarah Laut.
“Tongkang bermuatan jentera dan bahan binaan ini pula dikendalikan tiga warga Myanmar berumur 29 hinggga 50 tahun, mereka ditahan kerana disyaki tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, nakhoda bersama dua kru bot tunda serta tiga kru tongkang itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
“Kes akan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Seksyen ini memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tambahnya, Maritim Malaysia ingin menegaskan kepada semua pemilik kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang di laut yang sedia ada.
“Pihak Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara dipelihara.
“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.- UTUSAN ONLINE