BUTTERWORTH: Cubaan menyeludup masuk tulang ikan tuna sejuk beku dari China menggunakan sebuah kontena berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang di sini.
Maqis Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini berkata, kontena mencurigakan itu ditahan di pintu masuk Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, Selasa lalu.

Katanya, pemeriksaan ke atas kontena itu menemukan tulang ikan tuna sejuk beku yang dianggarkan seberat 27,000 kilogram (kg) dengan nilai kira-kira RM362,630.
“Penahanan itu dibuat kerana komoditi yang dibawa masuk adalah berbeza dengan komoditi yang diisytiharkan pada permit import yang dikeluarkan Maqis Pulau Pinang sebelum ini.
“Pengikraran maklumat yang berbeza serta mengelirukan pada permit import Maqis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” demikian menurut kenyataan itu.
Tambahnya, menerusi akta itu mana-mana orang yang memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.
Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Maqis Pulau Pinang sentiasa komited dalam melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian, perikanan dan haiwan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.
“Ia bertujuan menjamin kualiti selain memastikan barangan tersebut selamat dimakan untuk dimakan oleh rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN