PETALING JAYA : ‘Mana ada keputusan kerjasama antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.’
Demikian reaksi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ditanya mengenai kesediaan parti tersebut untuk bekerjasama dengan Bersatu.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, selagi tiada perbincangan rasmi antara Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka dangan Biro Politik, maka belum ada keputusan terhadap kerjasama tersebut.
Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, setakat ini Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh tidak memaklumkan kepadanya berhubung perkara berkenaan.
“Pendirian apa? (kerjasama UMNO dan PN). Datuk Rauf tidak cakap dengan saya perkara ini. Saya fikir macam inilah, selagi tiada perbincangan rasmi antara UMNO negeri dan Biro Politik, maka tiada lagi keputusan berkenaan kerjasama ini,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Abdul Rauf yang menyatakan BN Melaka mempertimbangkan cadangan menjalin kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu dalam menghadapi PRN.
Terdahulu, Abdul Rauf berkata, cadangan itu akan diteliti sebelum dibincang di peringkat tertinggi parti untuk diperhalusi dan mengalu-alukan cadangan Pengerusi PN negeri, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen semalam supaya BN dan PN menjalin kerjasama politik dalam menghadapi PRN.
Kelmarin Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, parti itu belum memutuskan untuk menjalin kerjasama dengan parti lain termasuk PN bagi menghadapi PRN Melaka.
DUN Melaka dibubarkan selepas permohonan diperakukan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam dan keputusan itu dibuat ekoran empat ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan ke atas kerajaan negeri kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali. -UTUSAN ONLINE










